Bengkel Kesedaran & Tindak Balas Kecemasan Kesihatan di Tempat Kerja tingkatkan kesiapsiagaan staf UUMIT
Gambar Unit Pentadbiran dan Kewangan, UUMIT
SINTOK, 18 September 2025: Seramai 60 staf UUMIT dari pelbagai unit menghadiri Bengkel Kesedaran & Tindak Balas Kecemasan Kesihatan di Tempat Kerja anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) UUMIT dengan kerjasama Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU) bertempat di DKG 3/5 pada 10 September lalu.
Penolong Pengarah UUMIT, Mohd Ilyas Soffian berkata, bengkel ini bertujuan meningkatkan tahap kesedaran peserta terhadap kepentingan pengurusan risiko kesihatan di tempat kerja serta memperkukuh pengetahuan dan kemahiran mereka untuk bertindak secara pantas dan berkesan sekiranya berlaku kecemasan kesihatan.
Menurutnya, bengkel ini selaras dengan usaha UUM untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat serta memenuhi keperluan latihan kecemasan seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan universiti.
“Bengkel ini bukan sahaja memberi kesedaran, tetapi juga membina keyakinan kepada staf untuk mengambil tindakan awal yang betul dalam situasi kecemasan.
“Pengetahuan dan kemahiran ini boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.
Sepanjang bengkel ini, peserta didedahkan dengan topik-topik seperti pengenalan kepada risiko kesihatan di tempat kerja; prosedur keselamatan asas dan penggunaan peralatan kecemasan; latihan bantuan kecemasan (CPR, rawatan kecederaan ringan, penggunaan AED, Heimlich); dan simulasi situasi sebenar kecemasan kesihatan di tempat kerja.
Peserta yang hadir memberi maklum balas positif dan berharap program seperti ini dapat diadakan secara berkala untuk memperkukuh kemahiran bantuan kecemasan di tempat kerja. – Khalid Robidi