Campus

Bengkel OJS Versi 3.5 perkukuh keselamatan dan kecekapan pengurusan jurnal UUM

Gambar Nur Syahirah Mohd Fuzi

SINTOK, 15 Januari 2026: UUM Press melalui Seksyen Jurnal telah menganjurkan Bengkel Sistem Open Journal System (OJS) versi 3.5 kepada semua Ketua Pengarang, Editor Urusan, dan Sidang Pengarang Jurnal UUM di EDC UUM, semalam.

Bengkel yang melibatkan seramai 65 peserta yang mewakili 25 buah jurnal UUM ini bertujuan memberi pendedahan, penerangan serta bimbingan secara hands-on berkaitan penggunaan sistem OJS versi baharu yang telah dinaik taraf. Bengkel ini telah dikendalikan oleh fasilitator daripada UUM Press, Che Mohamad Khairul Hakiman Ab Rahman.

Pengarah UUM Press, Prof. Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi dalam ucapan aluannya berkata, penganjuran bengkel ini adalah susulan kepada insiden serangan penggodam terhadap sistem OJS sebelum ini, yang mendorong pihak UUM Press dengan bimbingan Prof. Madya Dr. Aidi Ahmi dan UUMIT melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan dan penaiktarafan sistem kepada versi 3.5 yang lebih interaktif, stabil dan selamat, selaras dengan keperluan keselamatan siber semasa.

Beliau juga menegaskan kepentingan penglibatan aktif Ketua Pengarang dan Editor Urusan dalam memperkukuhkan pengurusan jurnal UUM.

UUM Press juga mengalu-alukan maklum balas daripada semua peserta berkaitan penggunaan sistem OJS versi baharu ini agar penambahbaikan berterusan dapat dilaksanakan. Di samping itu, OJS versi baharu ini akan meningkatkan kecekapan pengurusan editorial serta kualiti penerbitan jurnal UUM di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dr. Aidi Ahmi juga mencadangkan agar pengurusan jurnal UUM menggalakkan semua penulis memasukkan ID ORCID masing-masing semasa proses penghantaran manuskrip kerana langkah ini dapat meningkatkan visibiliti, kebolehkesanan dan kredibiliti jurnal-jurnal terbitan UUM. – Fadhlina Md Pudzi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button