Campus

Bengkel Pemerkasaan Warga SOC bincang isu tekanan, akademik dan pentadbiran

Gambar Zul Helmy Elyas

SINTOK, 25 September 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Warga SOC yang menghimpunkan pensyarah, pentadbir dan staf sokongan bagi memperkukuh hala tuju serta memperkasakan kecemerlangan akademik dan pentadbiran.

Antara pengisian utama bengkel ialah sesi Program Pengurusan Stress: The Science of Self-Care: What Everyone Should Know (Ilmu Penjagaan Diri: Apa yang Perlu Diketahui oleh Semua) yang disampaikan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar merangkap Pengarah Pusat Kaunseling, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar.

Program ini memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan penjagaan diri dalam menyeimbangkan kehidupan dan kerjaya.

Selain itu, peserta turut didedahkan dengan taklimat oleh barisan Timbalan Dekan SOC iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fadli Zolkipli (HEPA); Prof. Madya Dr. Husniza Husni (P&I), dan Prof. Madya Dr. Mazida Ahmad (A&A), yang memberi penerangan berhubung strategi dan hala tuju fakulti dalam bidang masing-masing.

Pada sesi petang, bengkel diteruskan dengan pembahagian kepada dua fokus utama iaitu akademik di Dewan Sri Angsana dan pentadbiran di Bilik Sri Mersawa.

Sesi akademik merangkumi perkongsian bersama Unit Swaakreditasi oleh Prof. Madya Ts. Dr. Irwan Mahazir Ismail, taklimat FYP oleh Prof. Madya Dr. Noraziah Che Pa, serta sesi rumusan berkaitan hala tuju, penilaian dan penambahbaikan pencapaian SOC, manakala sesi pentadbiran menumpukan kepada brainstorming serta perbincangan isu-isu pengurusan dalaman.

Dekan SOC, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali menyatakan bahawa beliau berhasrat agar bengkel ini menjadi platform tahunan bagi membina semangat kebersamaan, meningkatkan motivasi serta menyelaraskan usaha warga SOC ke arah mencapai kecemerlangan akademik dan pentadbiran. – Muhamad Nazir Hamzah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button