Bengkel penulisan artikel berimpak tinggi siri III akhiri program dengan fokus kepada strategi penulisan abstrak dan penghantaran artikel
Gambar oleh Prof. Madya Dr. Nazrina Aziz
SINTOK, 30 Julai 2025: Bengkel Penulisan Artikel Berimpak Tinggi Siri III: Abstract Writing and Submission Strategy telah berlangsung dengan jayanya pada Rabu bertempat di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM. Bengkel yang diadakan dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini merupakan siri terakhir bagi program Bengkel Penulisan Artikel Berimpak Tinggi yang sebelum ini telah dianjurkan dalam dua siri iaitu Siri I pada 25 Jun 2025 dan Siri II pada 15 Julai 2025.
Bengkel yang menampilkan Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad sebagai penceramah jemputan ini memberi tumpuan kepada pemantapan teknik penulisan abstrak yang efektif serta strategi terbaik untuk proses penghantaran artikel ke jurnal berimpak tinggi. Sebagai siri penutup, bengkel ini turut menekankan kepentingan kesinambungan dalam penerbitan berindeks bagi meningkatkan reputasi penyelidikan.
Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UUM, Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa staf akademik perlu menyemak semula Field of Research (FoR) Codes masing-masing kerana ia berkait rapat dengan penerbitan dan keseluruhan output penyelidikan.
“Penerbitan merupakan cara utama penyelidik menyumbang kepada bidang mereka dan membina reputasi akademik. Penerbitan yang selari dengan FoR turut mencerminkan kepakaran yang ada di pusat pengajian,” tegas beliau.
Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai Perjanjian Akses Terbuka (Open Access Agreements) yang telah dimeterai antara UA termasuk UUM dan Springer Nature yang dapat dimanfaatkan untuk memperluaskan capaian penerbitan. Beliau juga mengingatkan para peserta agar lebih berwaspada terhadap taktik pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam kegiatan paper mills.
Sepanjang penganjuran tiga siri bengkel ini, peserta telah berjaya menghasilkan lebih daripada 30 artikel berindeks Scopus dan WoS, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan yang digunakan dalam membantu staf akademik memperkukuh kualiti dan kuantiti penerbitan mereka.