Campus

Bicara Online: Mengenal dan mengawal keruncingan kesihatan mental dalam kalangan pelajar

Berita dan gambar Dr. Naizatul Akma Mohd Mokhtar

SINTOK, 14 Mei 2025: Jawatankuasa Pembangunan Pelajar dan Alumni, di bawah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menganjurkan program diskusi dalam talian bertajuk “Bicara Online: Mengenal dan Mengawal Keruncingan Kesihatan Mental dalam Kalangan Mahasiswa” sempena sambutan Minggu Kesedaran Kesihatan Mental.

Pengarah Program, Dr. Mohd Azri Mohd Nasaruddin berkata, program ini dijalankan dengan tujuan untuk memperkasa pengetahuan dan kepekaan terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa.

Menurutnya, penganjuran program ini adalah sebagai respons kepada kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesihatan mental pelajar universiti, khususnya pascapandemik.

“Tekanan akademik, masalah kewangan, konflik keluarga, ketidaktentuan masa depan, dan penggunaan media sosial secara berlebihan dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan isu kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa.

“Dalam konteks UUM, fenomena ini telah memberi kesan kepada kesejahteraan emosi pelajar, termasuk kecenderungan kepada pemikiran untuk mencederakan diri atau bunuh diri,” katanya.

Program ini menampilkan penceramah jemputan, Pensyarah Kanan dari Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Norizan Yusof yang juga Kaunselor Berdaftar [KB05320, PA0461].

Beliau menyampaikan ceramah berkaitan kaedah mengenal pasti simptom awal gangguan kesihatan mental, bentuk-bentuk bantuan yang boleh ditawarkan, serta pendekatan intervensi yang sesuai.

Berdasarkan kepakaran beliau dalam bidang kaunseling, psikologi dan pembangunan insan, Dr. Norizan turut mengulas isu-isu semasa seperti tekanan imej diri akibat media sosial dan gangguan tidur dalam kalangan mahasiswa.

Dalam perkongsian beliau, Dr. Norizan menekankan bahawa terdapat peningkatan aduan kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa pascapendemik.

“Masalah ini berpunca disebabkan oleh tekanan akademik, isu keluarga, kesunyian dan ketidaktentuan masa depan.

“Selain itu, penggunaan media sosial secara berlebihan turut menyumbang kepada perbandingan sosial, tekanan imej diri dan gangguan tidur,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pendekatan strategik berteraskan nilai-nilai Islam dalam menangani tekanan emosi dan keruncingan mental. Antara amalan yang disarankan termasuklah menjadikan solat dan doa sebagai bentuk terapi  spiritual, memperbanyakkan zikir serta pembacaan al-Quran sebagai penenang jiwa, serta mengamalkan sikap tawakal dan redha terhadap setiap ujian kehidupan.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar mahasiswa memperbanyakkan istighfar, sentiasa bermuhasabah diri dan mendapatkan sokongan emosi melalui penglibatan dalam usrah dan komuniti yang menyokong nilai-nilai positif.

Sesi soal jawab yang diadakan pada penghujung program telah memberikan ruang interaksi dua hala antara peserta dan penceramah, sekali gus membuka peluang untuk peserta mendapatkan penjelasan lanjut, berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan isu kesihatan mental secara terbuka dan berinformasi.

Pelajar, Nur Adibah Mafilruddin, yang juga moderator program berpendapat program ini memberi impak positif yang besar kepada mahasiswa dari segi kesedaran dan sokongan psikososial.

“Program ini bukan sahaja membuka mata ramai pihak tentang pentingnya menjaga kesihatan mental, tetapi juga memberi mereka ilmu dan panduan yang praktikal untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Saya sendiri lebih sedar bahawa sokongan spiritual, sokongan komuniti dan kesediaan untuk mendapatkan bantuan profesional adalah aspek penting dalam menjaga kesejahteraan emosi,” katanya.

Secara keseluruhan, program Bicara Online ini berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran, memperkukuh kefahaman dan menggalakkan peranan aktif semua pihak dalam mewujudkan ekosistem kampus yang lebih prihatin terhadap kesejahteraan mental mahasiswa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button