Bubur Lambuk Sri Sintok menu wajib Ramadan jadi pengikat kasih
SINTOK, 17 Mac 2025: Bubur Lambuk Sri Sintok bukan hanya sekadar hidangan berbuka puasa tetapi juga simbol perpaduan dan semangat persaudaraan yang erat dalam kalangan staf Universiti Utara Malaysia (UUM).
Bubur yang dinikmati oleh warga kampus sejak lebih dua dekad lalu masih mengekalkan rasa dan aroma yang sama seperti dahulu, sekali gus mengembalikan nostalgia manis bersama rakan sepejabat.
Memasak bubur lambuk sudah menjadi tradisi Pusat Islam bersama staf dari pelbagai jabatan bergotong-royong menyediakan bubur lambuk dalam membuat persiapan, secara tidak langsung menghidupkan Ramadan yang mulia.
Kali ini tiba giliran Jabatan Komunikasi Korporat (JKK), Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA), Jabatan Bendahari dan Awang Had Salleh Graduate School of Arts and Sciences (AHSGS) menjayakan aktiviti mengacau bubur lambuk tersebut.
Seawal jam 8.00 pagi, staf mula menyediakan bahan-bahan masakan sehingga ke proses memasak dan mengagihkan kepada staf.
Proses penyediaannya yang melibatkan bahan-bahan segar dan rempah yang disediakan dengan teliti, menjadikannya cukup istimewa.
Kelebihan utama hidangan ini terletak pada penggunaan rempah ratus yang cukup harum serta campuran bahan yang seimbang, menjadikan setiap suapan terasa begitu nikmat.
Staf JKK, Mahaliza Mahadhir berkata, semangat kerjasama terjalin erat semasa menyediakan bubur lambuk sekali gus mengeratkan hubungan di antara staf untuk bertanya khabar.
Menurutnya, bubur lambuk Sri Sintok ini telah menjadi identiti bagi UUM yang dimasak dengan penuh kasih sayang untuk disajikan kepada warga kampus secara percuma.
“Hidangan tradisional yang terkenal dengan rasa enak dan keunikan rasa rempah ratusnya menjadi sebutan ramai, malah bubur ini sentiasa dinanti-nantikan setiap kali tibanya Ramadan.
“Ia bukan sahaja memikat selera dengan rasa yang lazat, tetapi juga mencerminkan tradisi dan budaya masyarakat setempat,” katanya.
Sementara itu, ahli KESKA, Latifah Abdullah berkata, aktiviti memasak bubur lambuk merupakan satu pengisian di bulan Ramadan yang menggalakkan warga kampus melakukan sunnah Nabi dengan memberi makan kepada orang yang berpuasa.
“Setiap kali Ramadan, bubur lambuk Sri Sintok sentiasa ditunggu-tunggu. Seronok dapat berkumpul rewang dan memasak beramai-ramai walaupun dalam keadaan berpuasa tetapi masih ceria.
“Setiap tahun, kita akan mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai sebagai tanda persaudaraan dan semangat muafakat dalam bulan yang penuh berkat selain menjadi pengikat kasih,” katanya.