Campus

Cari pendekatan baharu supaya puisi kekal relevan

Gambar oleh: Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 15 Jun 2025: Puisi adalah warisan bangsa yang tidak pernah lapuk ditelan zaman. Ia menjadi nadi pemikiran, suara hati dan bayangan jiwa rakyat. Dalam konteks pembangunan negara masa kini, puisi membawa nilai yang jauh melampaui estetika yang menjadi wadah refleksi, pendidikan nilai dan perpaduan.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Foad Sakdan berkata, puisi sebagai wadah penting dalam membangkitkan kesedaran dan rasa kecintaan kepada negara. Puisi   harmoni yang digarap dengan berseni juga boleh mencapai tujuan melahirkan nilai jati diri dan membentuk keharmonian dalam masyarakat Malaysia MADANI.

“Dalam konteks Institusi Pendidikan Tinggi, elemen seni dan budaya termasuk puisi berperanan memperkukuh diplomasi rakyat, mewujudkan keharmonian serantau serta mengangkat naratif Malaysia sebagai negara beridentiti kukuh dan tinggi nilai tamadunnya,” katanya.

Jelasnya, dalam kemajuan dunia hari ini, teknologi digital dan AI mendapat tempat dalam segala aspek kehidupan. Golongan pemuisi juga haruslah mengikuti perkembangan dan kemajuan ini supaya tidak ketinggalan. Usaha untuk menjadikan puisi sebagai hasil berteknologi tinggi, saya yakin genre puisi akan terus kekal diminati dan relevan dalam masyarakat.

Beliau turut menyentuh mengenai Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN21) yang menekankan bahawa pembangunan negara perlu berakar kepada budaya yang berpaksikan nilai, jati diri, kreativiti dan warisan.

“Dalam hal ini, puisi sebagai cabang sastera harus menjadi medium yang sentiasa dihidupkan dalam pendidikan, pentadbiran, dan kehidupan masyarakat.

“DAKEN21 menyarankan pemerkasaan budaya melalui pendekatan rentas bidang, dan sambutan Hari Puisi Malaysia ini adalah salah satu manifestasi terbaik dalam merealisasikan dasar tersebut,” ucapnya ketika merasmikan Sambutan Hari Puisi Kali Ke-5, bertemakan “Puisi Murni Berseni, Malaysia MADANI Harmoni Tahun 2025”, kelmarin.

Beliau berbangga melihat penyertaan yang begitu inklusif dari tokoh sasterawan negara, guru dan pelajar sekolah, hinggalah para pemuisi muda di IPT.

“Inilah wajah Malaysia MADANI masyarakat yang meraikan kebijaksanaan, nilai, dan harmoni dalam kepelbagaian,” tambahnya.

Beliau menyeru agar puisi dimartabatkan bukan sahaja sebagai seni, tetapi sebagai wahana perubahan, penyatuan dan penyubur jiwa bangsa.

Hadir sama memeriahkan Sambutan Hari Puisi Kali Ke-5 ialah Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Dato’ Dr Zurinah Hassan, serta Timbalan Presiden PEMUISI, Datuk Dr Lim Swee Tin.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemuisi Malaysia (PEMUISI), Dato’ Radzuan Ibrahim berkata, dalam dunia digital yang bergerak pantas ini, media alternatif yang dahulunya tidak mendapat tempat meluas, kini kian membesar dan menggantikan kedudukan media arus perdana.

“Teknologi digital termasuk AI telah menjadi suatu wacana pendemokrasian dunia penulisan secara lebih tuntas. Malahan kini, anak- anak muda yang tidak terdidik secara klasikal dalam bidang penulisan dan kesusasteraan juga dapat mengekspresikan diri mereka dalam suatu kaedah yang pantas, efektif dan meluas.

“Golongan ‘digital natives’ ini bukan sahaja mahir dalam teknologi malahan yang menentukan kejayaan mereka adalah ekosistem yang mereka bawa, iaitu antara lainnya ‘network effect’ iaitu rangkaian kenalan yang meluas.

“Kita harus menguasai bidang perkembangan digital dan AI agar puisi kita kekal relevan. Kita juga harus mengikut arus dan perkembangan masyarakat terkini. Perlu mencari kaedah, kehendak dan apa yang diminati masyarakat, kemudian diturunkan dalam karya puisi kita,” ujarnya.

Mengikut kajian, karya yang diminati masyarakat terutama golongan anak muda ialah Kisah Seram dan Misteri. Justeru, kita harus mencari pendekatan baharu supaya puisi juga mendapat tempat di hati masyarakat, terutama golongan anak muda.

“PEMUISI telah perkenalkan Puisi Artistik Acuan PEMUISI dan kita telah berjaya menganjurkan Sayembara Puisi Artistik Hari Malaysia yang sudah memasuki 6 tahun. Puisi Artistik ini kami gubah dengan memasukkan elemen yang disukai golongan remaja dan anak muda, seperti Muzik, teater, prop, slide, gambar, ‘live music’, dan membuka ruang seluas-luasnya untuk mereka beraktiviti.

“Dengan cara itu, kita telah mendapat sambutan yang amat membanggakan setiap kali sayembara puisi artistik ini diadakan. Dengan penglibatan ramai anak muda dalam aktiviti puisi, saya yakin puisi akan kekal relevan untuk masa-masa yang akan datang,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada UUM khususnya kepada Naib Canselor yang telah sudi menerima lamaran sebagai rakan strategik dan menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Puisi Malaysia bagi tahun 2025.

“Penglibatan UUM dalam sambutan ini memberi erti yang sangat besar dalam perjuangan memartabatkan puisi tanah air. Apatah lagi, matlamat kami untuk mendekati golongan remaja dan anak muda mahasiswa serta menarik minat mereka terhadap puisi.

Majlis diserikan dengan persembahan deklamasi puisi, sesi penyampaian sijil dan hadiah pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak serta Sesi Penyampaian Anugerah PEMUISI.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button