Campus

CEDI perkukuh hala tuju strategik bersama PPKS melalui bengkel transformasi 2026

Gambar oleh: Muhammad Khairul Amri Ahmad

CAMERON HIGHLANDS, 1 April 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Bengkel Transformasi Strategik CEDI 2026 bertemakan “Menyelaras Visi dan Memperkukuh Strategi” pada 1 hingga 3 April 2026 bertempat di Zenith Hotel, Cameron Highlands.

Bengkel selama tiga (3) hari ini menghimpunkan warga CEDI bagi merangka perancangan strategik yang lebih tersusun, terarah dan berimpak tinggi selaras dengan keperluan semasa universiti.

Antara fokus utama bengkel adalah penetapan hala tuju strategik, penyelarasan pelaksanaan program serta pengukuhan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun 2026.

Salah satu pengisian penting bengkel ini adalah sesi perbincangan strategik bersama Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang telah membuka ruang kepada penyelarasan hala tuju pembangunan keusahawanan di peringkat universiti. Sesi ini berjaya memperkukuh kefahaman bersama berkaitan skop fungsi, peranan dan pelaksanaan program antara kedua-dua pusat tanggungjawab.

Melalui sesi tersebut, beberapa kesepakatan telah dicapai termasuk penyelarasan pelaksanaan program keusahawanan pelajar, perancangan kolaborasi program berimpak tinggi serta pendekatan bersama dalam penglibatan dengan agensi luar bagi mengelakkan pertindihan fungsi. Inisiatif ini secara tidak langsung telah mewujudkan sinergi yang lebih kukuh antara CEDI dan PPKS dalam memperkasa ekosistem keusahawanan universiti secara holistik.

Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar, dalam ucapannya menegaskan bahawa bengkel ini merupakan platform penting dalam memastikan setiap perancangan CEDI disusun secara strategik dan berimpak tinggi.

“Bengkel ini bukan sahaja menjadi ruang perancangan dalaman, tetapi juga platform penyelarasan strategik bersama PPKS bagi memastikan setiap inisiatif keusahawanan yang dilaksanakan adalah lebih tersusun, saling melengkapi dan memberi impak maksimum kepada pelajar serta universiti,” ujar beliau.

 

Sementara itu, Pengarah PPKS, En. Fadzil Mohd Husin, turut menyambut baik inisiatif kolaborasi ini dan menyifatkannya sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan di UUM.

 

“Kerjasama strategik antara CEDI dan PPKS ini membuka peluang untuk kita merancang dan melaksanakan program keusahawanan secara lebih bersepadu. Pendekatan ini amat penting bagi memastikan pembangunan usahawan pelajar dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan berimpak tinggi,” katanya.

Selain itu, hasil bengkel turut memberi penekanan kepada pelaksanaan Program Jaguh Keusahawanan Nasional 2026, yang akan dilaksanakan secara bersama oleh CEDI dan PPKS pada 21 hingga 22 April 2026 di kampus Universiti Utara Malaysia, Sintok. Program berskala nasional ini dijangka menghimpunkan seramai 250 pelajar dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta sekitar Zon Utara.

Program anjuran Institut Keusahawanan Negara dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini dilaksanakan dalam bentuk bootcamp intensif keusahawanan yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning). Peserta akan melalui siri latihan bersama pakar industri, sesi bimbingan mentor secara langsung, serta pembangunan idea dan prototaip perniagaan yang berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat seterusnya.

 

 

Menariknya, peserta program akan berpeluang membentangkan idea (pitching) di peringkat kebangsaan, dengan potensi untuk dipilih ke dalam kelompok terbaik bagi mengikuti fasa lanjutan pembangunan usahawan. Pendekatan ini bukan sahaja membina kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar, malah membuka peluang jaringan industri serta akses kepada ekosistem sokongan keusahawanan yang lebih luas.

Penganjuran program ini dilihat sebagai manifestasi awal hasil sinergi antara CEDI dan PPKS dalam memperkukuh pelaksanaan program keusahawanan secara bersepadu di peringkat universiti, di samping memperluas jaringan kerjasama dengan agensi strategik dan industri.

Secara keseluruhannya, bengkel ini telah mencapai objektifnya dalam memperkukuh hala tuju strategik CEDI serta meningkatkan tahap penyelarasan dan kerjasama antara CEDI dan PPKS. Usaha ini dijangka akan terus menyumbang kepada pembangunan ekosistem keusahawanan yang lebih mampan, inklusif dan berimpak tinggi di Universiti Utara Malaysia. – Akmal Ahlami Md Rozai

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button