Campus

CEO Co-opbank Pertama bongkar pengurusan strategik kepada pelajar BPLB

Berita dan gambar oleh Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman

SINTOK, 9 November 2025: Program The CEO Lens 2nd Series anjuran Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Persatuan BPLB (Thinkers) dan Pusat Kerjasama Universiti Industri (CUIC) telah berjaya menarik perhatian para pelajar Program Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (BPLB) apabila menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (Co-opbank Pertama), Khairil Anuar Mohammad Anuar sebagai panel jemputan utama.

Program yang dilaksanakan di bawah inisiatif Finishing School itu bertujuan memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai dunia kepimpinan, tadbir urus dan pengurusan strategik dari perspektif seorang pemimpin industri.

Melalui perkongsian pengalaman, cabaran serta strategi pengurusan organisasi, para pelajar berpeluang memahami bagaimana teori pengajian mereka diaplikasikan dalam realiti perniagaan dan pentadbiran sebenar.

Semasa perkongsian tersebut, Khairil Anuar teruja dengan pencapaian cemerlang pelajar BPLB. Beliau turut menawarkan dua tempat bagi latihan industri di Co-opbank Pertama kepada pelajar tahun akhir BPLB.

 

Para pelajar tahun akhir yang hadir turut memberikan reaksi positif terhadap program tersebut. Salah seorang peserta, Ahmad Zikri Ahmad Rostam, menyifatkan sesi perkongsian tersebut sebagai amat bermakna.

“Saya rasa sangat bertuah dapat mendengar sendiri pandangan seorang CEO. Perkongsian beliau membuatkan saya lebih jelas tentang hala tuju kerjaya dan kepentingan membina kemahiran kepimpinan sejak di bangku universiti,” katanya.

Bagi Ilya Fazwani Maswan, program ini membuka ruang refleksi diri dan meningkatkan motivasi.

“Apa yang dikongsikan oleh CEO Co-opbank Pertama, Khairil Anuar benar-benar memberi inspirasi. Ia mengingatkan saya bahawa setiap keputusan kecil yang kita buat hari ini boleh membentuk masa depan kita. Program ini memang sangat relevan dan membuka mata,” ujarnya.

Penganjuran The CEO Lens 2nd Series turut menjadi bukti komitmen SOL yang sentiasa merapatkan hubungan antara universiti dan industri serta memantapkan pengalaman pembelajaran holistik para pelajar BPLB.

Inisiatif ini dijangka dapat diteruskan sebagai platform yang dapat mencetuskan pemikiran strategik, memperkukuh jaringan profesional serta membentuk barisan pemimpin masa hadapan yang berintegriti dan berpandangan jauh.

Turut hadir dalam program tersebut Ketua Pegawai Operasi (COO) Co-opbank Pertama, Dekan SOL, Pengurus-Pengurus CUIC, Timbalan-Timbalan Dekan SOL dan Pengerusi-Pengerusi Program SOL.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button