Campus

COB talk (siri 4) : Perkembangan terkini resolusi dan garis panduan syariah pasaran modal

Gambar oleh Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), UUM

SINTOK, 30 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia College of Business (UUMCOB) melalui inisiatif COB Talks Siri 4 telah menganjurkan satu sesi perkongsian bertemakan “Shariah Updates: Key Resolutions, Fatwas and Emerging Issues Shaping the Industry” bagi membincangkan perkembangan terkini resolusi dan rangka kerja kawal selia Syariah dalam pasaran modal Islam.

Sesi perkongsian ini telah disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Asmadi bin Mohamed Naim, Profesor di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia, yang juga merupakan Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang serta Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Perbincangan memberi tumpuan kepada peranan strategik Penasihat Syariah dalam menyeimbangkan pematuhan prinsip Syariah, keperluan pasaran serta jangkaan pihak berkepentingan bagi memastikan integriti pasaran modal Islam terus terpelihara.

Program ini turut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 29 orang pelajar antarabangsa dan tempatan dari Albukhary International University, Alor Setar, Kedah, selain penyertaan aktif warga Universiti Utara Malaysia. Sesi ini turut menghuraikan secara terperinci peranan dan tanggungjawab Penasihat Syariah dalam penawaran saham patuh Syariah oleh syarikat awam tidak tersenarai.

Dalam ucapan alu-aluan, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri merakamkan penghargaan kepada Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Asmadi atas kesudian berkongsi kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang Syariah pasaran modal bersama para peserta.

Para peserta turut didedahkan kepada kemas kini resolusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, khususnya berkaitan semakan pendekatan kuantitatif dalam metodologi saringan Syariah bagi sekuriti tersenarai.

Antara penambahbaikan utama yang diketengahkan ialah penggunaan jumlah pendapatan sebagai asas pengiraan baharu bagi memastikan penilaian aktiviti perniagaan tidak patuh Syariah dibuat dengan lebih tepat dan adil.

Selain itu, penceramah turut membincangkan penambahbaikan komponen penanda aras aktiviti perniagaan, termasuk isu berkaitan makanan dan minuman tanpa pensijilan halal, produk tembakau termasuk rokok elektronik, caj bayaran lewat serta pengelasan semula perniagaan pawagam.

Sesi ini turut menyentuh perkembangan aset digital di Malaysia dan peranan Syariah dalam penawaran produk tokenisasi pasaran modal Islam.

Secara keseluruhan, COB Talks Siri 4 berjaya memberikan pendedahan yang komprehensif kepada para peserta mengenai kepentingan peranan Penasihat Syariah dalam memastikan pematuhan Syariah, tadbir urus berintegriti serta kemampanan pasaran modal Islam selaras dengan aspirasi Maqasid al-Shariah.

Program diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati kepada penceramah oleh Prof. Dr. Selamah Maamor, Dekan IBS, diiringi Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, Menjalankan Tugas Penolong Naib Canselor UUMCOB, serta sesi bergambar bersama para peserta.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button