Campus

“Data dan dunia kita” dorong minat STEM murid tahap 2 SKRPB

Gambar oleh Dr. Wan Laailatul Hanim Mat Desa

PERLIS, 23 Julai 2025: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah meneruskan program GenSTEM: Mengasah Pelapis STEM dengan penganjuran aktiviti “Data dan Dunia Kita” di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Budriah (SKRPB), Simpang Empat, Perlis, melibatkan 76 murid Tahap 2.

Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada Program STI 100³ Kitaran 1 Tahun 2025, tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), yang menyaksikan 83 saintis dipadankan dengan 83 sekolah di seluruh negara.

Program yang diketuai oleh Dr. Wan Laailatul Hanim Mat Desa bersama empat saintis SQS, Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad, Prof. Madya Dr. Aida Mauziah Benjamin, Prof. Madya Dr. Syariza Abdul Rahman dan Dr. Mohd Saiful Adli Mohamad, bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid tentang pengumpulan, perekodan dan analisis data.

Melalui aktiviti membina graf bar dan piktograf, murid dapat memahami konsep perwakilan data secara visual yang lebih mudah difahami, sekali gus meningkatkan kemahiran pemprosesan maklumat, kreativiti dan interpretasi data dalam kehidupan seharian.

 Aktiviti bermula dengan “Imbas Aktiviti Lepas”, diikuti sesi “Data dan Dunia Kita” di mana murid mengumpul maklumat mengenai perisa aiskrim dan buah-buahan kegemaran rakan-rakan mereka. Data tersebut direkodkan dalam jadual dan diwakilkan secara kreatif dalam bentuk graf bar dan piktograf.

Ketua aktiviti menekankan bahawa pendekatan ini mampu memupuk minat terhadap STEM, menggalakkan pemikiran kritikal dan membina keyakinan murid untuk membuat keputusan berasaskan data.

Ketua Panitia Matematik, Puan Haryani, melahirkan rasa teruja dengan pengisian aktiviti ini kerana murid kelihatan lebih jelas tentang cara kutipan dan perwakilan data melalui pendekatan hands-on yang menarik.

“Kaedah ini memudahkan mereka memahami konsep data dengan lebih baik dan menyeronokkan,” katanya.

Guru Besar SKRPB, Che Aziz Ismail, turut menzahirkan penghargaan atas usaha SQS dan berharap kolaborasi strategik ini dapat diteruskan bagi melahirkan generasi celik STEM yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button