Delegasi INASIS SME Bank ke SME Bank HQ: Fokus kepada kepimpinan korporat & literasi kewangan
Berita dan gambar oleh Amirulhafez Abdullah
KUALA LUMPUR, 1 Julai 2025: Delegasi akademik yang terdiri daripada 50 ahli komuniti INASIS SME Bank, UUM dalam satu sesi pembelajaran transformatif yang memfokuskan kepada pembangunan kerjaya dan literasi kewangan telah diadakan di Ibu Pejabat SME Bank, Kuala Lumpur.
Program strategik yang dianjurkan bersama oleh Majlis Tertinggi & Biro Informasi Penerbitan, JKPS INASIS SME Bank ini bertujuan mempersiapkan mahasiswa dengan kemahiran dan pengetahuan penting untuk menceburkan diri dalam dunia korporat yang kompetitif.
Antara pengisian utama termasuk sesi perkongsian tips kerjaya oleh Puan Shuhaibahtulaslamiah Hurmuzan, Group Chief Human Capital Officer SME Bank, yang memberikan panduan tentang bagaimana pelajar ijazah sarjana muda boleh mempersiapkan diri untuk bekerja di dunia korporat. Beliau berkongsi strategi penting dalam pembangunan kemahiran, jaringan profesional dan adaptasi terhadap persekitaran kerja yang dinamik.
Turut hadir sebagai pembentang utama ialah Puan Zakiah Mat Esa, Chief Sustainability Officer SME Bank, yang berkongsi inisiatif sustainability terkini bank termasuk Sustainability Roadmap 2.0 yang dilancarkan Oktober 2024. Beliau menekankan kepentingan pemahaman sustainability dalam kerjaya masa depan, khususnya dalam konteks pencapaian Net Zero GHG emissions menjelang 2050.
Menurut Pengarah Program, Amirulhafez Abdullah, “Sustainability bukan lagi pilihan tetapi keperluan mutlak dalam dunia perniagaan masa depan. Melalui program ini, kita sedang mempersiapkan generasi pemimpin yang tidak hanya mahir dalam aspek teknikal tetapi juga memiliki kesedaran mendalam tentang tanggungjawab sosial korporat. Inilah yang saya namakan sebagai ‘Sustainable Leadership’ kepimpinan yang menyeimbangkan keuntungan dengan tujuan,”.
Program seumpama ini membuka mata mahasiswa untuk lebih berdaya saing dalam mendepani cabaran pekerjaan yang lebih mencabar.