EDUQUEST Race: Cabaran kreatif pendidikan abad ke-21
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Norazlinda Saad
SINTOK, 8 Januari 2026: Satu program pembelajaran berasaskan aktiviti yang inovatif iaitu EDUQUEST Race: Cabaran Kreatif Pendidikan Abad ke-21 telah berjaya dilaksanakan pada 29 Disember tahun lalu di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program ini melibatkan seramai 74 pelajar daripada dua kursus iaitu SGDAK3113 Pengurusan Iklim Bilik Darjah (Kumpulan B) dan SGDTK3153 Perancangan & Pengurusan Teknologi dalam Pendidikan.

Pensyarah kursus SGDAK3113 Pengurusan Iklim Bilik Darjah, Prof. Madya Dr. Norazlinda Saad berkata, program EDUQUEST Race dirancang khusus bagi mengintegrasikan pembelajaran teori dan praktikal melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).
Menurutnya, pelbagai stesen aktiviti interaktif dan mencabar telah disediakan bagi menguji kefahaman serta keupayaan pelajar dalam aspek pengurusan iklim bilik darjah, aplikasi teknologi pendidikan, penyelesaian masalah serta kemahiran berfikir aras tinggi.
Katanya, pendekatan explorace yang diaplikasikan ini berjaya meningkatkan penglibatan aktif pelajar dan menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan serta bermakna.
Selain memantapkan kefahaman akademik, program ini turut memberi penekanan terhadap pembangunan kemahiran insaniah yang amat penting dalam profesion keguruan seperti kepimpinan, komunikasi berkesan, kerjasama berpasukan dan pengurusan masa.

Setiap aktiviti yang dijalankan memerlukan pelajar bekerjasama secara efektif dalam kumpulan, membuat keputusan secara kolektif serta mengaplikasikan teknologi sebagai medium sokongan pembelajaran sejajar dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
“Pendedahan awal kepada pelajar terhadap situasi sebenar pengurusan pembelajaran amat penting dalam membentuk kefahaman yang menyeluruh.
“Pembelajaran luar bilik darjah memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan teori dalam konteks sebenar serta meningkatkan keterlibatan dan motivasi mereka. Selain itu, penggunaan teknologi secara berkesan dapat menyokong pembelajaran yang lebih terancang serta membantu mewujudkan persekitaran bilik darjah yang kondusif, kreatif dan dinamik selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21,” katanya.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan EDUQUEST Race: Cabaran Kreatif Pendidikan Abad ke-21 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta menerima maklum balas yang sangat positif daripada pelajar.
Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu pendekatan inovatif dalam memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran serta melahirkan graduan pendidik yang holistik, kreatif dan berdaya saing.



