Campus

Ekosistem keusahawanan UUM raih perhatian strategik Thaksin University, Thailand

Gambar Jabatan Komunikasi Korporat dan CEDI

SINTOK, 24 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) bersama UUM Leads Sdn. Bhd. telah menerima kunjungan delegasi daripada Management Development College (MDC), Thaksin University, Thailand dalam satu lawatan hormat dan sesi perkongsian strategik.

Delegasi MDC diketuai oleh Associate Dean for Academic, Research and Innovation, Saree Boonrat dan Assistant Dean for Entrepreneurship Development and International Relations, Patompop On-oun.

Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar berkata, lawatan ini bertujuan meneroka potensi kolaborasi dalam bidang pembangunan keusahawanan pelajar, inovasi serta pengukuhan jaringan akademik dan industri antara kedua-dua institusi.

Program dimulakan dengan sesi lawatan ke Projek Income Enhancement Programme (IPR) – INTAN, Chilli Fertigation Project Farm yang memperlihatkan model pemerkasaan komuniti melalui inisiatif keusahawanan pertanian.

Delegasi turut dibawa melawat tempat tarikan seperti Ladang Rusa, Kompleks Sukan UUM dan seterusnya ke Varsity Mall bagi meninjau infrastruktur dan kemudahan sokongan keusahawanan yang tersedia untuk pelajar, termasuk ruang niaga dan ekosistem perniagaan dalam kampus.

Sesi rasmi kemudiannya berlangsung di Auditorium, Perpustakaan Sultanah Bahiyah. UUM Leads Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Pengurus Eksekutif, Andy Bachtiar Ibrahim yang menzahirkan penghargaan atas kesudian delegasi MDC berkunjung ke UUM.

Beliau menekankan bahawa kolaborasi rentas sempadan seperti ini berpotensi memperkukuhkan perkongsian kepakaran, pembangunan program bersama serta penerokaan peluang pengkomersialan dan jaringan industri di peringkat serantau.

Kemuncak program adalah sesi perkongsian oleh Dr. Juhaida yang memperincikan pendekatan strategik CEDI dalam membangunkan ekosistem keusahawanan pelajar di UUM.

Beliau menjelaskan model pembangunan usahawan pelajar yang merangkumi latihan berstruktur, program inkubasi, geran permulaan perniagaan, platform pitching, kemudahan tapak niaga Siswaniaga serta pemantauan dan bimbingan berterusan sehingga ke fasa pertumbuhan dan kelestarian perniagaan.

Dr. Juhaida turut berkongsi pencapaian dan impak inisiatif CEDI terhadap pembangunan usahawan pelajar dan komuniti, termasuk kerjasama bersama agensi serta rakan industri. Pendekatan holistik yang menekankan elemen ESG, inovasi dan jaringan strategik dilihat berpotensi menjadi asas kepada kolaborasi bersama MDC pada masa hadapan.

Sesi soal jawab yang interaktif membuka ruang perbincangan lanjut mengenai kemungkinan pelaksanaan program bersama seperti pertukaran pelajar dan staf, penganjuran bengkel atau bootcamp keusahawanan antarabangsa, kolaborasi penyelidikan berimpak serta pembangunan inkubator bersama yang memanfaatkan kedua-dua institusi.

Kedua-dua pihak menyatakan harapan agar lawatan ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama formal melalui memorandum persefahaman (MoU) dan pelaksanaan inisiatif bersama yang memberi manfaat kepada pelajar, industri dan komuniti di Malaysia serta Thailand.

Melalui kolaborasi yang dirintis ini, CEDI UUM optimis dapat memperluas pengaruhnya sebagai pusat rujukan pembangunan keusahawanan universiti di peringkat serantau, sekali gus memperkukuh agenda pengantarabangsaan UUM secara mampan dan berimpak tinggi. – Akmal Ahlami Md Rozai

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button