Campus

Ekspedisi masjid RV Semenanjung Malaysia 2025

Gambar oleh Pusat Islam UUM

SINTOK, 27 Disember 2025: Masjid Sultan Badlishah, Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat detik bermakna apabila dipilih sebagai persinggahan ke-27 bagi Ekspedisi Masjid RV Semenanjung Malaysia 2025, sebuah inisiatif yang menampilkan pendekatan baharu dalam menghubungkan institusi masjid dengan komuniti pelbagai latar.

Program berskala nasional ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri (JHEAN) dengan matlamat memperluas peranan masjid sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan yang inklusif serta seiring dengan trend pelancongan Islam dan gaya hidup rekreasi.

Kehadiran seramai 50 orang peserta bersama 23 buah campervan telah disambut oleh Pengarah Pusat Islam UUM, Ustaz Haji Mohd Yusnaidi bin Md Sabri.

Pengisian hari pertama dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah sebelum peserta mengikuti atur cara yang telah disusun.

Program diteruskan dengan Kuliah Khas yang disampaikan oleh Ustaz Haji Mohd Yusnaidi, memberi tumpuan kepada pengukuhan nilai kerohanian serta perkongsian pengalaman bersama para peserta.

Bagi menghargai komitmen mereka, satu majlis makan malam telah dianjurkan dan turut dihadiri oleh Naib Canselor UUM, Profesor Ahmad Martadha Mohamed.

Dalam pertemuan tersebut, beliau menyatakan penghargaan terhadap inisiatif ini yang berjaya merapatkan hubungan antara komuniti luar dan warga universiti.

Program ini turut menjadi lebih signifikan dengan kehadiran Presiden Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia (PCCM), Farman Othman, yang merupakan alumni UUM.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Presiden Kolej Petronas UUM dari tahun 1999 hingga 2003.

Ekspedisi Masjid RV Semenanjung Malaysia 2025 melibatkan kunjungan ke 38 buah masjid terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia. Pemilihan Masjid Sultan Badlishah sebagai salah satu lokasi persinggahan menunjukkan kesiapsiagaan fasiliti UUM dalam menyokong aktiviti pelancongan berteraskan agama serta gaya hidup luar berkonsepkan nilai Islam.

Program yang berlangsung selama dua hari, dari 27 hingga 28 Disember, diakhiri dengan sesi ramah mesra bersama komuniti kampus sebelum konvoi peserta meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. – Mohd. Jazlan Aidil Mat Jamil

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button