EVE Energy teruskan dialog strategik bersama UUM mengenai penajaan aktiviti sukan dan budaya
Berita dan gambar Siti Nazirah Binti Jaya
SINTOK, 9 Julai 2025: Susulan pertemuan fizikal pertama pada 2 Julai lalu, satu perbincangan susulan telah berlangsung secara dalam talian pada 9 Julai 2025 antara pihak EVE Energy dan wakil-wakil UUM. Sesi ini bertujuan memperincikan potensi penajaan yang telah dibincangkan sebelum ini, khususnya melibatkan aktiviti sukan dan kebudayaan di kampus.
Perjumpaan kali kedua ini turut melibatkan wakil daripada Pusat Sukan dan Pusat Budaya dan Kesenian UUM bagi memberi penerangan lebih lanjut berkenaan aktiviti dan program yang berpotensi menerima sokongan penajaan daripada EVE Energy.
EVE Energy diwakili Encik Fong Chai (Pengurus Kanan) , bersama Cik Karyn Low dan Cik Ainaa Syukri (kedua-duanya Pengurus Perhubungan Awam), serta Cik Amani Zulkipli (Penyelia Perhubungan Awam) dalam sesi perbincangan yang berlangsung selama satu jam setengah ini.
Manakala pihak UUM diwakili oleh Dr. Zuliana Azwa Zulkifli, Dr. Nuramalina Mohamad Na’in, dan Puan Sakinah Sabudin dari Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC). Turut hadir ialah Pengarah Pusat Budaya dan Kesenian, Dr. Mohd Azhar Abu Bakar @ Azmeer, bersama Timbalan Pengarah, Puan Asmawiza Hussin, serta wakil dari Pusat Sukan, Encik Mohd Nizar Ahmad Pazdzi.
Melalui sesi ini, pihak EVE Energy diberi penerangan terperinci mengenai pelbagai inisiatif dan program anjuran Pusat Sukan dan Pusat Budaya, yang merangkumi pembangunan bakat pelajar, pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, serta program berbentuk kesenian yang mendukung Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Perbincangan susulan ini membuktikan minat EVE Energy untuk menjalin kerjasama strategik bersama UUM dalam menyokong pembangunan holistik pelajar melalui penajaan dan penglibatan industri yang lebih aktif. Seterusnya, kerjasama ini dijangka akan membuka lebih banyak peluang sinergi antara dunia akademik dan industri dalam masa terdekat.