Forum profesional kupas isu pendidikan keusahawanan di IPT
Berita dan gambar Azam Arni Mohd Noor
SINTOK, 4 Januari 2026: Forum Profesional: Pendidikan Keusahawanan di IPT – Manfaat dan Peluang telah berjaya dianjurkan di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.
Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), UUM dan Kesatuan Ikhtisas Muslim Malaysia (KIMM) dalam usaha memperkukuh jaringan universiti, ndustri dan komuniti.

Pengarah program, Muhammad Faiz Aiman Mansor berkata, forum ini bertujuan menyediakan platform profesional bagi membincangkan peranan, kepentingan serta hala tuju pendidikan keusahawanan di institusi pengajian tinggi, di samping memberi pendedahan langsung kepada pelajar dan peserta melalui perkongsian ilmu daripada ahli akademik serta pengamal industri.
Program ini menampilkan dua penceramah utama iaitu Prof. Madya Dr. Armanurah Mohamad (UUM) yang berkongsi perspektif akademik berkaitan pendidikan keusahawanan di IPT, serta YM Tunku Faris Tunku Khalil, graduan UUM tahun 2002 dan pengasas Pisango Sdn. Bhd., yang berkongsi pengalaman praktikal membangunkan perniagaan makanan berasaskan pisang melalui gabungan inovasi resipi tradisi keluarga dan penggunaan teknik pemprosesan moden bagi menembusi pasaran global.
Melalui kerjasama dengan NGO profesional seperti KIMM, dan dilaksanakan secara hibrid, forum ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga universiti, malah menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui perkongsian ilmu dan dialog profesional yang bermakna.



