Campus

Hakim Mahkamah Tinggi kongsi ilmu dan pengalaman tentang perbicaraan kes jenayah

Berita dan gambar Dr. Mukhriz Mat Rus

SINTOK, 13 Januari 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) telah mengundang Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Yang Arif Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas merangkap Hakim Utama Mahkamah Negeri Perlis, pada 23 Disember tahun lalu bagi menyampaikan syarahan bertajuk ‘Self-Defence, Insanity, and Alibi: The Core Defences in a Murder Case’ di Kompleks Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Abazafree merupakan seorang Timbalan Pendakwa Raya yang disegani dan berpengalaman mengendalikan pelbagai kes jenayah, termasuklah kes-kes mencabar dan berprofil tinggi.

Berbekalkan latar belakang sedemikian, beliau telah berkongsi perspektif dan pengalaman di lapangan dengan pelajar SoL. Menerusi pengisian beliau, pelajar dapat memahami dengan lebih jelas bagaimana tata cara jenayah itu diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan dan penguatkuasaan dalam sistem keadilan negara.

Pengerusi Program Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B), Dr. Mukhriz Mat Rus berkata, syarahan ini terbuka kepada semua warga UUM secara umum, dan secara khususnya kepada para pelajar SoL yang sedang mengambil subjek Undang-Undang Jenayah bagi program Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B), dan Undang-Undang Keadilan Jenayah bagi program Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (BPLB).

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan pusat pengajian, antaranya Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain dan Pengarah Pusat Penyelidikan Undang-Undang dan Keadilan (LJRC), Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman serta warga SOL yang lain.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button