Hari Guru SOE eratkan kerjasama akademik antarabangsa
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 25 Mei 2025: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) meraikan Hari Guru 2025 dengan tema sambutan ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’, seiring dengan peranan pendidik sebagai ejen perubahan dalam era pendidikan global.
Majlis telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, yang menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kesudian delegasi dari Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Guru yang diadakan di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), baru-baru ini.
“Selamat datang ke Universiti Utara Malaysia. Saya yakin kehadiran ini mampu mengeratkan hubungan dan meningkatkan kefahaman bersama terhadap budaya serta sistem pendidikan kedua-dua negara.
“Terima kasih juga kepada Pusat Pengajian Pendidikan dan barisan Majlis Perwakilan Pelajar yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan program ini,” katanya.
Dr. Mohd Foad berkata, semangat kerjasama erat antara semua pihak merupakan asas kejayaan sesebuah program akademik yang berimpak tinggi.
Sementara itu, Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman mengalu-alukan kehadiran delegasi seramai 180 orang dari Universitas Negeri Padang (UNP) ke UUM sempena sambutan ini.
Menurutnya, tema sambutan tahun ini membawa makna yang besar. Bukan sekadar idealisme, tetapi tanggungjawab besar yang digalas oleh bakal guru dalam mendepani cabaran sistem pendidikan masa ini.
Beliau turut menyampaikan amanat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menekankan peranan guru bukan hanya sebagai penyampai ilmu, malah sebagai peneraju utama dalam menjayakan agenda reformasi pendidikan negara.
“Dalam menghadapi era teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan sistem pengaturcaraan, guru perlu menyesuaikan pendekatan pengajaran agar kekal relevan dan menarik minat pelajar masa kini,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Dekan Fakulti Pendidikan UNP, Prof. Dr. Afdal yang merakamkan penghargaan atas sambutan hangat daripada pihak UUM.
“Selamat Hari Guru kepada rakan-rakan di Malaysia. Di Malaysia, Hari Guru disambut pada 16 Mei, manakala di Indonesia pada 25 November.
“Pertemuan ini membuka ruang kepada kerjasama ilmiah antara kedua-dua institusi dalam isu pendidikan guru di peringkat serantau dan global,” katanya.
Kemuncak majlis adalah Syarahan Profesor Adjung yang disampaikan oleh Datuk Dr. Amin Senin, bertajuk “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, yang memberikan pencerahan mengenai peranan strategik guru dalam membentuk masa depan pendidikan.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan deklamasi sajak bertemakan penghargaan kepada insan bergelar guru, yang menyemarakkan lagi semangat sambutan Hari Guru di UUM.
Majlis diteruskan dengan tayangan montaj gimik perasmian, simbolik kepada pelancaran rasmi sambutan Hari Guru SOE 2025. – Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih dari USIM)