IBS dan BIBD, rintis peluang kerjasama strategik
Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir
SINTOK, 4 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah menerima kunjungan hormat delegasi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dalam usaha memperkukuh hubungan strategik dan meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan modal insan.
Lawatan ini merupakan susulan kepada pertemuan terdahulu antara pihak IBS UUM dan BIBD yang berlangsung di Brunei Darussalam sempena Persidangan ICIFS 2025 pada Februari lalu.
Delegasi terdiri daripada enam staf BIBD diketuai oleh Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, YM Mohammad Yusri Walsafehah.
Program dimulakan dengan sesi pengenalan kampus dan fasiliti UUM di Anjung Tamu sebelum diteruskan dengan sesi perbincangan kerjasama yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Antara hasil perbincangan yang signifikan termasuklah cadangan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan BIBD, penghantaran pelajar-pelajar asnaf di bawah program BIBD ALAF bagi menyambung pengajian dalam bidang Kewangan Islam dan Pengurusan Halal di UUM, program pemerkasaan keusahawanan asnaf bersama Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), kerjasama penyelidikan dalam bidang zakat, waqaf, sedekah dan bidang-bidang sosial Islam lain, dan pelaksanaan latihan khas pengurusan risiko dalam perbankan dan kewangan Islam kepada warga kerja BIBD.
Delegasi BIBD turut dibawa melawat ke dewan kuliah dan pusat perkhidmatan pelajar U-Assist sebelum diakhiri dengan jamuan makan tengahari di Bilik Mesyuarat FWD Takaful.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), IBS, Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab, berkata, lawatan ini mencerminkan kepercayaan institusi kewangan luar terhadap kredibiliti dan kepakaran akademik UUM dalam bidang kewangan Islam dan pengurusan sosial Islam.
“Lebih penting, BIBD menyatakan komitmen untuk mempromosi UUM kepada institusi pendidikan lain di Brunei bagi memperluas keterlihatan UUM di peringkat antarabangsa,” katanya.
Lawatan ini bukan sahaja membuka ruang kerjasama rentas sempadan, malah memperkukuhkan kedudukan UUM sebagai peneraju pendidikan kewangan Islam yang berdaya saing di rantau ini. – Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab