IBS UUM perkasa Program BHalal melalui Bengkel Penyelarasan Akreditasi Penuh
Berita dan gambar Dr. Hawwa Abdul Mokti
SINTOK, 24 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan Bengkel Penyelarasan Akreditasi Penuh Program Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHalal) bertempat di Bilik Mesyuarat IBS, UUM.
Bengkel ini dipengerusikan oleh Pengerusi Program BHalal, Dr. Hawwa Abdul Mokti dan disertai oleh tenaga pengajar halal, panel jemputan berpengalaman iaitu Prof. Dr. Noriah Ramli daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Mohd Mahyeddin Mohd Salleh daripada Universiti Islam Sains Islam Malaysia (USIM) serta Ts. Mohd Azimi Mohd Basri sebagai penasihat industri daripada Legoland Malaysia.

Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa IBS, Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof berkata, penganjuran bengkel ini bertujuan menyelaras dan menambah baik dokumen kurikulum, pelaksanaan Work-Based Learning (WBL), kaedah penilaian serta bukti pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan Program BHalal memenuhi keperluan akreditasi penuh serta selari dengan keperluan industri halal semasa.
Menurutnya, penganjuran bengkel yang melibatkan panel pakar luar telah memberi nilai tambah yang signifikan kepada program.
“Bengkel ini yang melibatkan panel pakar dari luar telah banyak membantu program dari aspek penambahbaikan kurikulum dan pelaksanaan. Input yang diberikan menjadikan pihak kami lebih bersedia untuk menghadapi fasa akreditasi penuh,” katanya.
Antara dapatan utama bengkel adalah pengekalan struktur Program BHalal sebanyak 120 jam kredit dengan peruntukan WBL sebanyak 6 jam kredit untuk setiap subjek, di samping penambahbaikan dari segi dokumentasi, keperluan industri, penyediaan modul pra-penempatan serta kaedah penilaian pelajar.
Sementara itu, Dr. Hawwa berkata, keperluan perjanjian yang jelas dengan pihak industri ditekankan bagi memastikan pelaksanaan WBL yang lebih sistematik dan berkesan.
Selain itu, menurutnya, pihaknya telah mencadangkan penambahbaikan kandungan beberapa kursus teras melalui penstrukturan semula dan penggabungan kandungan bertindih, pemerkasaan elemen praktikal serta memasukkan isu semasa seperti peranti perubatan halal dan gastronomi halal dalam silibus pengajaran.

Katanya, pemetaan hasil pembelajaran program (PLO) dan hasil pembelajaran kursus (CLO) turut dikenal pasti sebagai elemen kritikal dalam audit yang memerlukan penglibatan kolektif semua pensyarah bagi memastikan keselarasan dan kebolehukuran penilaian bagi setiap subjek.
“Keperluan penilaian pelajar yang lebih autentik dan bersifat praktikal serta keperluan pengemaskinian fail kursus dan bukti pengajaran dan pembelajaran perlu dititikberatkan.
“Kesemua sembilan tenaga pengajar Program BHalal disahkan berkelayakan dan kompeten, namun penambahbaikan dari segi dokumentasi dan maklumat sokongan perlu disediakan serta penambahan ilmu berkaitan halal perlu dilakukan secara berterusan,” katanya.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah mencapai persetujuan terhadap penambahbaikan kepada beberapa kursus teras Program BHalal bagi memenuhi keperluan audit akreditasi penuh serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan IBS, Universiti Utara Malaysia dalam memastikan kualiti program akademik halal yang holistik, relevan dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.



