IJZIP perkukuh usaha ke arah Pengindeksan MyCite
Berita dan gambar Amierul Firdaus Nabil Azmi & Azimah Ahmad
SINTOK, 7 Julai 2025: Usaha penaiktarafan International Journal of Zakat and Islamic Philanthropy (IJZIP) ke arah pengindeksan dalam pangkalan data Malaysian Citation Index (MyCite) telah diperkukuh menerusi satu sesi perbincangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Dato’ Abdullah Hussain, UUM Press.
Perbincangan tersebut melibatkan kerjasama strategik antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), dan UUM Press. Delegasi LZNK diketuai oleh Dr. Hafizah Zainal, Pengarah Pusat Kajian dan Pengantarabangsaan Zakat Kedah. Sementara itu, IPIZ diwakili oleh Dr. Nor Syahidah Ishak selaku Penyelaras IPIZ, bersama dua editor IJZIP, iaitu Prof. Madya Dr. Azizah Othman dan Dr. Amirul Faiz Osman.
Taklimat disampaikan oleh Puan Nor Arpizah dan Encik Che Mohamad Khairul dari Seksyen Penerbitan Jurnal, UUM Press.
Sesi perbincangan berlangsung dalam suasana terbuka dan konstruktif, dimulakan dengan pembentangan isu serta cabaran yang dihadapi oleh LZNK dalam pengurusan semasa jurnal IJZIP. Pihak UUM Press kemudiannya berkongsi pandangan serta cadangan penambahbaikan merangkumi aspek teknikal penerbitan, pengurusan editorial yang lebih sistematik, serta penggunaan sistem penerbitan dalam talian yang lebih efisien.
Perkongsian yang diberikan dianggap signifikan dalam memperkukuh landasan IJZIP ke arah pematuhan piawaian pengindeksan MyCite. Beberapa cadangan strategik telah dikenal pasti sebagai tindakan susulan yang akan dilaksanakan secara berperingkat oleh pihak pengurusan jurnal.
Perbincangan ini diharap menjadi titik tolak kepada peningkatan kualiti pengurusan dan penyampaian IJZIP secara menyeluruh, sekali gus melayakkannya disenaraikan sebagai salah satu jurnal berindeks dalam pangkalan data MyCite pada masa hadapan.