Improvisasi puisi semarakkan bakat mahasiswa UUM
Gambar dan berita oleh Nur Aqilah Huda Abdul Jamal
SINTOK, 8 Disember 2025: Suasana pengkaryaan sastera terus disemarakkan di Universiti Utara Malaysia menerusi penganjuran Bengkel Pengkaryaan Karya Kreatif Pelajar (Sajak) sesi kedua yang berlangsung pada 8 Disember 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Zamrud, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), UUM.

Sesi ini sekali lagi menampilkan Solihin Osman, penyair berpengalaman yang aktif dalam dunia sastera tanah air.
Dalam perkongsiannya, beliau berkongsi pandangan tentang peranan pengkarya sebagai “manusia seni yang serba boleh”, selain menyentuh kepentingan mencari identiti diri dalam dunia kesenian.
“Saya mahu menjadi seperti P. Ramlee, tetapi bukan sebagai pelakon. Saya mahu menjadi manusia seni yang serba boleh,” katanya.

Beliau turut membawa peserta menelusuri tradisi sajak era 1960-an, khususnya dari sudut pemilihan isi dan kekuatan tema yang membentuk keutuhan karya sastera ketika itu.
Dalam sesi interaktif, setiap peserta diminta menyumbangkan satu frasa atau diksi sebagai bahan mentah untuk pembinaan puisi secara spontan. Melalui gabungan perkataan yang dikemukakan, Solihin Osman memperagakan teknik membentuk sajak secara improvisasi sebagai satu proses mendapatkan idea, mengembangkan imaginasi serta melatih keupayaan mengolah rasa dan makna dalam karya.

Sepanjang bengkel, peserta bukan sahaja didedahkan kepada teori asas penulisan sajak, malah turut terlibat secara langsung dalam aktiviti penghasilan puisi spontan yang menyerlahkan kepelbagaian suara dan perspektif kreatif mahasiswa.
Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen SLCP, UUM dalam membudayakan kesusasteraan serta menyediakan platform pembangunan bakat penulis muda universiti agar terus menyumbang kepada perkembangan dunia sastera tanah air.



