Campus

Inasis MISC kukuhkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar

Berita dan gambar Nurul Aleeya Natasya Daud

SINTOK, 22 Julai 2025: Sempena usaha memperkukuh kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Biro Kebajikan, Kesihatan dan Kesejahteraan di bawah Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS), Inapan Siswa (Inasis) MISC telah menganjurkan program Plug Safe, Live Brave! di Dewan Terbuka Inasis MISC, baru-baru ini.

Pengarah Program, Nur Aina Syaffia Abd Hadi berkata, inisiatif ini diwujudkan bagi membendung penggunaan elektrik secara cuai seperti penggunaan soket berlebihan dan pendawaian tidak selamat, yang kerap kali menjadi punca kejutan elektrik dan kebakaran di kediaman pelajar.

Menurutnya, program ini bukan sahaja berfungsi sebagai pendedahan pengetahuan, malah sebagai seruan tanggungjawab kepada semua pelajar untuk lebih cakna terhadap keselamatan diri dan persekitaran.

Sementara itu, Pengetua Inasis MISC, Dr. Mazri Yaakob turut hadir bagi menzahirkan sokongan serta keprihatinan terhadap usaha murni ini.

Kehadiran beliau memberi dorongan moral kepada peserta dan memperlihatkan komitmen pihak pengurusan terhadap keselamatan penghuni kampus.

Sesi demonstrasi utama dikendalikan oleh Mohamad Basir Yusoff, pegawai teknikal yang berpengalaman luas dalam aspek keselamatan elektrik.

Demonstrasi tersebut telah menarik minat peserta dengan penjelasan yang mudah difahami serta contoh situasi sebenar yang berlaku dalam kalangan pelajar.

Inisiatif ini membuktikan bahawa pendidikan keselamatan mampu disampaikan secara kreatif dan berkesan melalui kerjasama pelbagai pihak serta komitmen sukarelawan pelajar.

Semoga program Plug Safe, Live Brave! menjadi titik mula kepada pembudayaan gaya hidup yang lebih selamat dan bertanggungjawab dalam kalangan warga kampus.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button