Jadikan amalan KKP sebagai tanggungjawab bersama
Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 5 Ogos 2025: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan mengajak warga kampus UUM untuk menjadikan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) sebagai tanggungungjawab bersama.
Menurutnya, UUM sentiasa berusaha mengintegrasikan nilai-nilai pengurusan KKP dalam operasi harian, perancangan strategik dan pengurusan risiko.
“Komitmen universiti terhadap KKP bukanlah bersifat bermusim, tetapi merupakan satu usaha berterusan yang merentas semua peringkat organisasi. Kita mahu setiap warga UUM, sama ada staf akademik, staf pentadbiran mahupun pelajar, memahami bahawa KKP adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutupan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Negeri Kedah yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Kedah, Tuan Haji Abdul Aziz Salim.
Dr. Mohd Foad turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Pengurusan Risiko UUM dan seluruh warga universiti atas kejayaan meraih dua anugerah KKP pada tahun 2024, iaitu Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (OSH Award 2023) bagi kategori Institusi Pendidikan Tinggi dan kategori Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Awam (CEO Awam).
Sementara itu, Abdul Aziz merakamkan penghargaan kepada UUM atas sokongan padu dalam menjayakan agenda nasional berkaitan KKP, khususnya dalam usaha mendidik generasi akan datang tentang kepentingan budaya kerja yang selamat dan sihat.
“Minggu OSH tahun ini bertemakan ‘Merevolusikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan: Peranan Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendigitalan di Tempat Kerja’, satu tema yang sangat relevan dan berpandangan jauh. Ia mengajak kita merenung bagaimana teknologi moden seperti AI dan pendigitalan mampu memacu transformasi persekitaran kerja yang lebih selamat, efisien dan lestari,” ujarnya.
Beliau berkata, peranan teknologi bukan sahaja mampu mengurangkan kadar kemalangan dan penyakit pekerjaan, malah berpotensi mewujudkan ekosistem kerja yang lebih pintar dan responsif.
“Aspirasi Malaysia untuk menjadi negara AI menjelang 2030 sebagaimana dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) turut memperkukuhkan komitmen negara dalam bidang KKP,” katanya.
Majlis turut menyaksikan sesi Lafaz Ikrar Integriti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang diketuai oleh Akmal Ahlami Md Rozai di hadapan Naib Canselor UUM.
Selain itu, majlis hari ini diserikan dengan pelancaran program Telaah: Budaya Ilmu peringkat UUM serta sesi resensi buku bertajuk Prospect of Electoral Reform in Malaysia yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa),Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Dr. Mohd Azizuddin yang merupakan penulis utama buku tersebut menekankan bahawa buku-buku seperti ini memberi peluang kepada masyarakat umum untuk memahami sistem politik bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
Turut hadir dalam majlis ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Ram Al Jaffri Saad; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohammed; Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU); dan delegaSI JKKP Kedah.