Jalinan UUM–KISMEC perkukuh program KPTIP dan Inisiatif GE
Gambar oleh Siti Nazirah Jaya
SINTOK, 23 Julai 2025: Satu kunjungan balas oleh delegasi Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC) ke Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diadakan baru-baru ini bagi membincangkan peluang kerjasama strategik berkaitan Program Tauliah Industri dan Profesional KPT (KPTiP).
Sesi perbincangan ini turut menekankan peranan institusi pendidikan dan pusat latihan kemahiran dalam memperkasakan kebolehpasaran graduan melalui kolaborasi program latihan, pemadanan industri, dan penawaran kursus bersesuaian dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Delegasi KISMEC diketuai oleh Encik K. Karuna, Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan disambut mesra oleh Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam. Kunjungan balas ini membuka ruang perbincangan lebih lanjut dan menyeluruh berkaitan inisiatif bersama antara institusi TVET dan universiti awam dalam memperkukuh jaringan pendidikan dan latihan yang bersesuaian dengan keperluan industri semasa.
Antara agenda utama yang diketengahkan termasuklah Pelaksanaan program latihan jangka pendek dan jangka panjang di bawah kerangka KPTiP; penawaran kursus atau modul berbentuk industri kepada graduan dan pelajar tahun akhir serta peluang kerjaya kepada pelajar yang telah tamat mengikuti program KPTiP.
Menurut wakil KISMEC, kerjasama ini amat penting dalam memastikan graduan memiliki set kemahiran yang relevan serta dapat diserap ke dalam pasaran kerja dengan lebih cepat dan berkesan. Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan KISMEC dan UUM dalam mendukung agenda nasional ke arah pembangunan modal insan berkemahiran dan berdaya saing.
Kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk meneroka inisiatif bersama dalam memperkukuh jaringan kerjasama, termasuk kemungkinan penganjuran bersama program intervensi, seminar industri, dan penempatan latihan industri pelajar.
Turut hadir dalam sesi ini Prof. Madya Dr. Lily Julienti bt. Abu Bakar, Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Normalisa binti Md Isa, Timbalan Pengarah, Bahagian Hubungan Industri CUIC, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fadli bin Zolkipli, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Pusat Pengajian Pengkomputeran , Prof. Madya Dr. Norhaslinda Binti Zainal Abidin, Pengarah ISIDM, Prof. Madya Dr. Norsiah Binti Hami Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) dan Puan Nur Farah binti Johari wakil Pusat Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (CDGEC).
Kunjungan ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati dan gambar kenangan, sebagai simbol permulaan hubungan strategik antara kedua-dua pihak. Pusat Alumni UUM turut mengambil peluang meraikan 3 staf KISMEC yang merupakan Alumni UUM.