Campus

Jangan mudah berasa selesa, sentiasa timba pengalaman baharu

SINTOK, 26 Mei 2025: Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) 2025 mengiktiraf 191 warga universiti yang menunjukkan prestasi cemerlang, komitmen tinggi dan dedikasi dalam menjalankan amanah untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2024.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kompetensi menjadi penanda aras global yang menuntut kepada keupayaan penciptaan yang bukan sahaja bersifat baharu, unik dan bermanfaat tetapi juga mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada daya fikir, kreativiti dan inovasi yang tinggi.

“Saya amat berharap kebolehan dan keupayaan ini dapat terus dibudayakan dan menjadi satu norma dalam menjalankan tugas harian.

“Justeru, pesan saya kepada warga UUM, jangan mudah berasa selesa dengan kemahiran yang ada sebaliknya, sentiasalah berusaha menimba pengalaman baharu,” katanya ketika ucapan aluan dalam HIMPU 2025 di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

HIMPU 2025 disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd Shukor Mahfar.

Dr. Mohd Foad berkata, dalam menjalankan peranan sebagai warga di institusi ilmu yang terkemuka, warganya tidak boleh terpisah daripada asas nilai yang kukuh.

Menurutnya, nilai utama yang telah digagas awal oleh pemimpin terdahulu iaitu Ilmu Bukti Bakti yang menjadi moto UUM perlu ditransformasikan kepada penghayatan yang jitu dan terangkum, sekali gus membantu mencorakkan budaya kelas pertama.

“Moto UUM bukanlah hanya retorik semata-mata tetapi ia dibina berasaskan prinsip kemanusiaan yang mewarnai kehidupan manusia kerana ketiga-tiga perkataan ini mempunyai perkaitan rapat. Tanpa ilmu, amalan budi dan bakti tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

“Tanpa budi dan bakti, maka ilmu yang dituntut adalah sia-sia belaka dan tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada diri sendiri dan masyarakat. Oleh itu, perlakuan warga UUM perlu disenergi dan ditransformasi secara tuntas agar misi dan visi UUM dapat dicapai secara komprehensif.

“Kecemerlangan yang dicapai hari ini bermaksud kita telah menetapkan satu tanda aras baharu, satu penanda aras kecemerlangan dalam perkhidmatan, serta membina ekosistem kerja yang berintegriti dan produktif,” ujarnya.

Beliau menyifatkan majlis yang penuh bersejarah itu bukan sekadar satu acara tahunan, tetapi ia merupakan satu simbol penghargaan, satu perayaan terhadap kecemerlangan, dan juga satu titik tolak kepada anjakan budaya inovasi yang lebih progresif dalam kalangan warga universiti.

“Setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan. HIMPU 2025 adalah platform untuk mengiktiraf usaha gigih, kesungguhan dan dedikasi staf dalam bidang masing-masing,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button