Berita dan gambar oleh Muhammad Syafiz Omar
ALOR SETAR, 27 Januari 2026: Unit Kebajikan dan Perubatan Staf, Jabatan Sumber Manusia (JSM) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Muhammad Husaini Salleh telah mengadakan lawatan prihatin bagi menziarahi staf universiti yang sedang menerima rawatan akibat masalah kesihatan serta sedang bercuti sakit, kelmarin.

Staf yang terlibat dalam lawatan tersebut ialah Faizah Hashim, Pegawai Tadbir dari JSM yang sedang menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC), Alor Setar.
Sementara itu, Mohd. Fitri Abdullah, Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) dari Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), diziarahi di kediamannya di Taman Damar, Changlun.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah wakil RMC, Muhammad Hafiz Mohd. Ghazali, bersama beberapa orang staf RMC.

Lawatan ini mencerminkan keprihatinan serta sokongan moral pihak pengurusan universiti kepada staf UUM, di samping menzahirkan komitmen berterusan universiti dalam menjaga kebajikan warga kerjanya, khususnya ketika berdepan situasi sukar.
Sempena lawatan berkenaan, Unit Kebajikan dan Perubatan Staf, JSM turut menyampaikan sumbangan hamper berbentuk makanan sunnah kepada staf yang terlibat.
Menurut Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah, pihak pengurusan universiti sentiasa komited dalam memastikan kebajikan staf terpelihara, terutamanya apabila mereka menghadapi musibah yang tidak dijangka.



