Campus

Kafeteria Hijau Kuning UUM berwajah baharu, simbol kebangkitan semula mercu tanda kampus

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 6 April 2026: Kafeteria Hijau Kuning di Universiti Utara Malaysia (UUM) kembali bernafas dengan wajah baharu apabila ia dirasmikan semula sebagai salah satu pusat tumpuan utama warga kampus, sekali gus menghidupkan semula nostalgia lokasi ikonik sejak awal penubuhannya.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, penjenamaan semula kompleks berkenaan bukan sahaja memperindahkan fasiliti sedia ada, malah mencerminkan identiti universiti pengurusan yang profesional dan inklusif.

Menurutnya, kafeteria yang mula dibina sekitar tahun 1990 itu pernah menjadi lokasi utama interaksi sosial pelajar dan warga universiti, khususnya bagi generasi pelajar sekitar tahun 1990-an.

“Di sinilah kita berkumpul, berbincang dan mengeratkan hubungan. Tempat ini menyimpan banyak kenangan kepada warga UUM,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Projek Siap Kafeteria Hijau Kuning UUM, hari ini.

Projek naik taraf bernilai kira-kira RM5.7 juta itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan Infrastruktur (JPPI) serta pihak kontraktor, Bayu Gemilang Engineering (M) Sdn. Bhd. yang berjaya menyiapkannya mengikut jadual dengan kualiti yang memuaskan.

Kafeteria itu kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden termasuk fasiliti mesra Orang Kurang Upaya (OKU) seperti parkir khas, laluan akses dan kemudahan sinki yang lebih inklusif.

Dr. Ahmad Martadha berkata, lokasi strategik kafeteria tersebut yang terletak di tengah-tengah kompleks pentadbiran dan dewan kuliah menjadikannya sesuai sebagai pusat interaksi utama warga kampus merangkumi pensyarah, pentadbir, kakitangan sokongan serta pelajar.

Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan dan berharap kemudahan tersebut dapat dijaga dengan baik agar terus memberi manfaat jangka panjang.

Majlis diteruskan dengan gimik penyerahan oleh Pengarah Bayu Baling Engineering Sdn. Bhd., Ishak Moktar menyerahkan Mock Key kepada Pengarah JPPI, Ir. Hamdan Noh yang kemudiannya menyerahkan Mock Key kepada Pengarah Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD), Prof. Madya Dr. Zainudin Omar dengan disaksikan oleh Naib Canselor.

Sementara itu, Pengarah BSD memaklumkan bahawa Kafeteria Hijau Kuning dijangka mula beroperasi pada 12 April ini selepas semua urusan kemasukan barang peniaga selesai.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad dan pegawai-pegawai kanan universiti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button