Campus

Kepimpinan kualiti dan akreditasi sebagai mercu kejayaan inisiatif mantapkan UUM

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin

SINTOK, 16 Februari 2025: Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Wacana IPDM siri pertama bagi tahun 2025 bersempena dengan Hari Pengasasan Universiti Utara Malaysia yang ke-41 tahun.

Siri wacana dikendalikan oleh Pensyarah SBM UUM, Prof. Emeritus Dr. Rushami Zien Yusoff bagi membincangkan topik “Pemantapan UUM Melalui Pembangunan dan Pemakmuran Kepimpinan Kualiti dan Akreditasi”.

Pengarah IPDM, Prof. Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib selaku moderator mengambil peluang untuk mengajukan beberapa soalan kepada Dr. Rushaimi Zien selaku penceramah. Program ilmu ini dihadiri oleh 567 staf secara dalam talian (aplikasi Webex).

Sesi dialog bermula apabila Dr. Rushami mengimbas nostalgia ketika mula berkhidmat di UUM di mana beliau melapor diri di UUM sehari sebelum hari pengasasan UUM pada 1984, yakni di bawah kepimpinan Allahyarham Tan Sri Awang Had Salleh sebagai Naib Canselor pertama UUM.

Menurutnya, Tan Sri Awang Had memfokuskan sepenuhnya kepada usaha-usaha pembangunan fizikal di UUM dan beliau memberi tumpuan dalam menjaga kualiti dan berhasrat memastikan UUM adalah universiti awam yang terbaik dengan gelaran Harvard of The East.

Imbasan pengalaman Dr. Rushami ketika mentadbir UUM di Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) di samping menceritakan perihal kredibiliti beberapa orang Naib Canselor yang mempunyai semangat dan keyakinan diri yg tinggi dalam menerajui tampuk kepimpinan UUM. Antaranya termasuklah Allahyarham Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had Salleh, Allahyarham Brig. Gen. Prof. Datuk Dr. Ahmad Fawzi Mohd Basri dan Prof. Emeritus Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Dalam naratifnya, beliau turut menceritakan pengalaman menjalani latihan asas di IBM, dengan cuba memahami isu berkaitan kualiti dan pembentukan pasukan kerja yang efektif. Umumnya, kupasan dalam wacana membawa audiens kembali ke zaman awal UUM mengorak langkah, dengan fokus tertumpu kepada pengajaran. Selang masa demi masa, sistem-sistem dan prosedur-prosedur yang menyokong pembinaan UUM yang mampan dibina dan dipraktikkan, dengan kewujudan pelbagai pusat-pusat latihan dalam universiti, dengan sokongan penuh pihak pengurusan universiti.

Bersekali dengan sistem pengurusan kualiti, hadir juga akreditasi, yang menuntut kepada gembelingan tenaga pelbagai lapisan kepimpinan dan kesungguhan.

Dr. Rusahimi berkata, urusan itu di awalnya menjadi sesuatu yang menggerunkan, tetapi dengan adanya sistem kualiti yang telah mantap, pasukan-pasukan yang padu, ia dapat dilalui dengan jayanya.

“Semua ini perlu diselami dengan jelas oleh segenap warga UUM kini, agar kepayahan orang dahulu dapat dihargai dan diteruskan dengan semangat dan cara kerja yang betul agar UUM, dengan pencapaian yan gada sekarang dapat diteruskan, malah dipertingkatkan lagi.

“Cabaran dalam dunia akademik hari ini sangat besar terutamanya dengan kewujudan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI),” katanya.

Selanjutnya, apabila diajukan soalan berkaitan kaedah untuk menguruskan perubahan dalam zaman kontemporari ini, beliau menegaskan bahawa setiap individu terutamanya staf UUM perlu sentiasa cakna dengan perubahan isu semasa. Selain itu, pembangunan kepakaran individu perlu diketengahkan dan menjadi sumbangan kepada masyarakat khususnya.

Dr. Rushami turut mengingatkan kepentingan untuk setiap staf UUM membangunkan kebijaksanaan (wisdom development). Ia adalah langkah penting dalam pembangunan diri dan keupayaan untuk menjadi pemimpin yang terbaik.

“Teruslah belajar dari pelbagai sumber untuk mendapatkan pengetahuan yang lebih luas dan mendalam. Di samping itu, kita perlu selalu mempertimbangkan kesahihan informasi, dan meninjau dari pelbagai sudut pandang sebelum mengambil keputusan,” katanya.

Ibarat kata Socrates – “Satu-satunya kebijaksanaan sebenar ialah mengetahui bahawa anda tidak tahu apa-apa”.

Beliau juga berpesan agar semua staf akademik dan pentadbiran untuk sentiasa mempertingkatkan potensi diri dalam sesuatu peringkat akademik. Bagi mencapai kualiti akademik yang baik, Dr. Rushami menyarankan supaya staf UUM tidak hanya sampai di peringkat Ijazah Sarjana Muda, namun mempunyai cita-cita untuk meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan seterusnya PhD.

Kualiti akademik merujuk kepada piawaian dan prestasi pendidikan di institusi akademik. Faktor-faktor yang mempengaruhi kualiti akademik termasuk pengajaran yang berkualiti, kurikulum yang relevan, proses penilaian yang adil, penyelidikan yang berkualiti, dan sokongan pelajar.

“Kalau boleh semua perlu jadi profesor. Ia bukan pilihan. Seiring kita bergerak, kita perlu memberi sumbangan terutamanya kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Mengakhiri wacana, beliau menasihatkan semua pemimpin Pusat Tanggungjawab (PTJ) khususnya untuk mengatur strategi yang lebih efisien dan efektif dalam mencapai matlamat pasukan. Kerja berpasukan adalah aspek penting dalam banyak usaha yang berjaya, sama ada di tempat kerja, atau sebarang aktiviti kumpulan. Ia melibatkan individu bekerjasama secara bersepadu ke arah visi dan misi organisasi.

Kerja berpasukan yang berkesan memerlukan komunikasi, kerjasama, kepercayaan dan sokongan bersama yang baik dalam kalangan ahli pasukan. Apabila pasukan berfungsi dengan baik bersama-sama, mereka boleh mencapai lebih daripada individu yang bekerja sendiri, menggunakan kemahiran dan perspektif yang pelbagai untuk menyelesaikan masalah dan berinovasi.

“Setiap individu perlu mengambil peluang untuk jadi pemimpin yang terbaik. Untuk menjadi pemimpin, kelayakan dalam akademik adalah sangat diutamakan. Fikirkan untuk mendapatkan nilai paling maksimum. Apa sahaja keputusan yang dibuat, perlu didokumentasikan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button