Komputer riba ringankan beban pelajar B40 UUM
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 2 Januari 2026: Seramai 13 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima sumbangan komputer riba (laptop) di Balai Tamu, semalam.

Pelajar dari kalangan B40 itu menerima sumbangan komputer riba daripada Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Zainuddin Omar.
Pemberian sumbangan laptop dari Tabung Kebajikan Pelajar UUM itu bertujuan membantu meringankan beban pelajar yang menghadapi kesukaran untuk menyiapkan tugasan menggunakan komputer riba.
Pelajar Semester 1, Izzati Syamimi Zulhatiqullah melahirkan rasa syukur dan merasa sebak kerana dipilih menerima sumbangan komputer riba tersebut.

Menurutnya, akhirnya sumbangan ini dapat meringankan bebanan ibu bapanya yang hanya bekerja sebagai buruh ladang daripada membeli laptop baharu.
Katanya, sebelum ini dia hanya menggunakan laptop kawannya untuk membuat tugasan memandangkan komputer riba yang dibeli ayahnya sering bermasalah termasuk bateri.
“Saya harap dengan adanya laptop baharu ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk belajar dan memperoleh keputusan peperiksaan cemerlang.
“Saya ingin banggakan ibu bapa saya kerana sayalah harapan paling besar dalam keluarga,” katanya yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi.



