Campus

Kru Bakat Lestari cetus semangat kebersamaan dan kelestarian kampus pegawai muda UUM

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 12 September 2025: Semangat kebersamaan dan kepedulian terhadap kelestarian kampus terus dizahirkan melalui pelaksanaan program “Bersama Pegawai Muda: Kru Bakat Lestari” yang berlangsung di laluan Inapan Siswa (Inasis) MAS dengan penglibatan pegawai muda Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Program yang dianjurkan di bawah inisiatif Pembangunan Bakat Staf ini turut mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI) sebagai rakan strategik.

Ia bertujuan memupuk rasa tanggungjawab dalam menjaga kebersihan serta mencipta persekitaran kampus yang lebih kondusif.

Selain itu, ia juga menjadi platform mengukuhkan semangat kesukarelawanan dan kerja berpasukan dalam kalangan staf pentadbiran UUM.

Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Jabatan Canselori yang juga merupakan Presiden, Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional (Tadbir dan Ikhtisas) (PERPATI), Mohd Zulkifli Mohd Noor.

Beliau amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh kru pentadbir muda dalam menjayakan program ini.

Menurutnya, inisiatif ini bukan sahaja memupuk nilai kebersamaan dan tanggungjawab sosial, malah mencerminkan budaya kerja lestari yang sentiasa menjadi amalan warga UUM.

Sementara itu Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Kartini Tajul Urus berkata, penglibatan pegawai muda dalam program seumpama ini merupakan usaha holistik membangunkan bakat staf bukan sahaja dari aspek kepakaran kerja, tetapi juga dalam membentuk nilai murni, kepedulian sosial, dan semangat kebersamaan.

“Program Kru Bakat Lestari ini membuktikan bahawa pembangunan bakat bukan hanya melalui latihan dan kursus, tetapi juga melalui aktiviti yang menyemai nilai, budi, dan bakti dalam kehidupan seharian staf,” katanya.

Menariknya, program ini juga merupakan lanjutan daripada inisiatif Walkabout bersama Pendaftar yang telah diadakan pada 2 September lalu, di mana warga UUM berpeluang berinteraksi secara langsung bersama Pendaftar dalam menzahirkan aspirasi untuk membina kampus yang lebih sejahtera.

Dengan penglibatan aktif pegawai muda serta sokongan padu daripada JPPI, program ini diharap dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif sukarelawan hijau yang mendukung aspirasi UUM untuk terus menjunjung moto Ilmu, Budi, Bakti. – Nur Izzatul Natasya (Pelajar Pelatih dari UniMAP)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button