Campus

Kursus Asas Penyembelihan Halal dan Program Santuni Komuniti tekan pembelajaran secara langsung melalui pengalaman sebenar

Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir

SINTOK, 19 Mei 2025: Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal (B. Halal), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah memperlihatkan penghayatan tinggi terhadap prinsip ilmu dan nilai dalam kehidupan melalui penganjuran Kursus Asas Penyembelihan Halal dan Program Santuni Komuniti di Pusat Islam UUM pada 13 Mei lalu.

Program ini merupakan sebahagian daripada pendekatan experiential learning dalam kursus BIMCN 2053 Pengurusan Penyembelihan Halal, yang menekankan pembelajaran secara langsung melalui pengalaman sebenar di lapangan.

Menyedari bahawa pembelajaran yang berkesan tidak berlaku hanya dalam ruang kuliah, program ini menggabungkan dimensi teori dan amali bagi membentuk kefahaman holistik terhadap konsep penyembelihan halal serta tanggungjawab sosial sebagai Muslim.

Dua sesi ceramah telah disampaikan oleh wakil daripada Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), dan Pegawai Veterinar, Daerah Kubang Pasu, yang membincangkan aspek perundangan, prosedur piawaian halal, dan isu kebajikan haiwan menurut syarak serta peraturan kesihatan awam. Sesi ini memberikan kerangka teori yang kukuh sebelum pelajar menjalani sesi praktikal.

Aspek praktikal program menyaksikan pelajar terlibat secara langsung dalam penyembelihan 57 ekor ayam menurut kaedah halal, diikuti dengan aktiviti gotong-royong memproses, memasak dengan dibantu oleh staf Pusat Islam.

Pelajar kemudiannya mengagihkan makanan kepada komuniti kampus di 16 Inapan Siswa, masjid kampus, dan golongan asnaf. Proses ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran teknikal dan pemahaman syariat, tetapi juga memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan nilai ihsan, keprihatinan, dan amanah dalam konteks sebenar masyarakat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAIK, Syeikh Ahmad Shukri Mohamed berkata, inisiatif sebegini wajar dijadikan contoh dalam pendidikan halal kerana ia menghubungkan ilmu dengan tindakan, serta membentuk pelajar yang cakna terhadap keperluan masyarakat.

“Kefahaman halal perlu diiringi dengan pelaksanaan yang betul. Pelajar hari ini bukan hanya belajar teori, tetapi menyentuh realiti – menyembelih dengan ilmu, dan berkongsi dengan hati,” katanya yang merasmikan program tersebut.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), IBS, Prof. Madya Dr. Syarifah Md. Yusof yang juga merupakan pensyarah kursus berkenaan, menyatakan bahawa pendekatan berasaskan pengalaman ini terbukti berkesan dalam membentuk pelajar yang beretika, kompeten, dan mampu memahami konteks sebenar industri halal.

“Melalui gabungan ilmu dan amali, pelajar bukan sahaja menguasai kaedah sembelihan halal, tetapi turut menghayati nilai keprihatinan dan amanah dalam rantaian halal. Ini selari dengan prinsip experiential learning yang menjadikan pengalaman sebagai asas transformasi pengetahuan dan sahsiah,” katanya.

Program ini turut memperkukuh aspirasi UUM dalam melahirkan graduan holistik yang berdaya saing, berakhlak, dan berjiwa masyarakat, berlandaskan nilai-nilai Islam dan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs).

Pendekatan pembelajaran ini mengintegrasikan aspek kognitif, psikomotor dan afektif, serta menjadikan pelajar sebagai agen perubahan yang memahami realiti sosial dan mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat. – Amirulhafez Abdullah (Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Halal)

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button