Campus

Kursus Siswaniaga beri pendedahan keusahawanan

SINTOK, 16 Jun 2025: Aktiviti Kursus Luar Kuliah (KLK) Siswaniaga 2C dan 2D di bawah bimbingan Dr. Rosfaraliza Ramli yang dijalankan dari 11 hingga 24 Jun memberi impak besar dalam membentuk pemikiran keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

Sepanjang program di Pusat Ko-Kurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM) pelajar didedahkan kepada teori asas seperti perancangan perniagaan dan strategi pemasaran selain diberi peluang untuk mengaplikasikannya secara praktikal melalui aktiviti simulasi perniagaan dan sesi jualan terbuka.

Mereka membina reruai jualan, mereka bentuk logo jenama, menyusun strategi promosi, serta berurusan secara langsung dengan pelanggan, memberikan gambaran realistik tentang cabaran dan dinamik dunia keusahawanan sebenar.

Selain aspek teknikal, pelajar turut berhadapan dengan ujian daya tahan mental apabila perlu mengurus emosi, menyelesaikan konflik, dan beradaptasi dengan perubahan situasi yang berlaku secara spontan.

Sesi refleksi harian yang dikendalikan oleh fasilitator telah membantu pelajar mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri serta menanam kesedaran kendiri sebagai bakal usahawan.

Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan pelajar dalam bidang keusahawanan, malah membina jati diri dan karakter kepimpinan yang menjadi asas penting dalam membina usahawan yang beretika, inovatif dan berdaya saing di masa hadapan.

Menurut Penyelaras Unit Keusahawanan, Perniagaan Tani dan Kreativiti Pusat Ko-K UUM, Dr. Muhamad Ali Imran Kamarudin, program ini sangat bagus dalam menyemai semangat keusahawanan pelajar selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik yang mampu mencipta nilai serta menyumbang kepada pembangunan komuniti serta ekonomi negara.

Jika diintegrasikan dengan penilaian impak sosial seperti ‘Social Return on Investment’ (SROI), pelaksanaan KLK ini berpotensi besar untuk menjadi model rujukan latihan keusahawanan peringkat institusi pengajian tinggi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button