Langkah Jiwa Merdeka semarakkan patriotisme warga UUM COLGIS
Gambar Pejabat Pentabdiran PNC UUM COLGIS
SINTOK, 20 Ogos 2025: Pejabat Penolong Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) COLGIS dengan kerjasama semua pusat pengajian di bawah UUM COLGIS dan Pusat Alumni telah menganjurkan satu aktiviti Langkah Jiwa Merdeka bersempena bulan kemerdekaan dan meraikan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja.
Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid yang mewakil Penolong Naib Canselor UUM COLGIS berkata, ‘Langkah Jiwa Merdeka’ bukan sahaja menjadi wadah menyemarakkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, malah turut menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan staf.
Menurutnya, usaha ini seiring dengan saranan universiti untuk menggalakkan warga kampus lebih aktif, khususnya dalam persediaan menghadapi pemeriksaan kesihatan tahunan yang dilaksanakan oleh Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU).
Sepanjang program, peserta bersemangat mengikuti sesi berjalan beramai-ramai sambil mengibarkan Jalur Gemilang di sekitar kawasan kampus.
Turut sama membantu menjayakan program ialah Jabatan Keselamatan UUM yang memastikan kelancaran perjalanan serta keselamatan peserta.
Program ini diharapkan dapat dijadikan pemangkin untuk meningkatkan penglibatan staf dalam aktiviti-aktiviti anjuran jabatan dan pusat pengajian, sekali gus menyemarakkan kembali budaya kerjasama serta semangat kekitaan dalam kalangan warga UUM COLGIS. – Abu Bakar Omar Hamdan