Latihan Keselamatan dan Demonstrasi Kebakaran Zon 2 EKSA tingkatkan kesiapsiagaan warga UUM
Gambar EXCO Media dan Komunikasi, Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan
SINTOK, 8 September 2025: Jawatankuasa Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Zon 2 (Tekoma) dengan kerjasama Exco Kebajikan dan Kemudahan, Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2025/2026 telah melaksanakan Latihan Keselamatan & Demostrasi Kebakaran (Fire Drill) yang dikendalikan oleh pihak Balai Bomba Bukit Kayu Hitam di Pusat Asasi Pengurusan, Universiti Utara Malaysia pada 27 Ogos lalu.
Latihan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti pelan tindakan kecemasan Zon 2 EKSA yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada warga universiti terutamanya kepada lapan Pusat Pengajian dan Pusat Tanggungjawab di bawah Zon 2 iaitu SMMTC, SCIMPA, STML, SQS, SLCP, Anjung Tamu, Jabatan Keselamatan UUM dan Pusat Asasi Pengurusan tentang langkah-langkah keselamatan ketika menghadapi kecemasan, termasuk penggunaan laluan kecemasan dan peralatan pemadam api. Selain itu, pelajar dan staf di bangunan sekitar Pusat Asasi Pengurusan juga terlibat dengan latihan tersebut.
Pengarah Pusat Asasi Pengurusan merangkap Ketua Zon 2, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, latihan kebakaran perlu dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan warga universiti sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Menurutnya, semua staf dan pelajar perlu memahami tatacara keselamatan serta mahir menggunakan peralatan yang bersesuaian ketika berlaku kebakaran.
Latihan dimulakan sejurus sistem penggera kebakaran dibunyikan, diikuti dengan proses pengungsian bangunan Pusat Asasi Pengurusan yang dikawal selia oleh ketua aras ke tapak berkumpul kecemasan dengan menggunakan laluan kecemasan yang telah ditetapkan.
Seterusnya, sesi penilaian, taklimat dan penerangan tatacara memadam kebakaran telah disampaikan oleh Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Muzzaini bin Md Isa bersama anggota Balai Bomba Bukit Kayu Hitam.
Demonstrasi penggunaan alat pemadam api berkonsepkan PASS turut dilaksanakan bagi memberi peluang kepada pelajar dan staf menjalani simulasi memadam kebakaran dengan bimbingan anggota bomba.
Sementara itu, pelajar Pusat Asasi Pengurusan, Abdul Mukhlis Ab Malik berkata, latihan seperti ini dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan pelajar dan staf dalam menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran di masa hadapan.
“Program ini memberi pendedahan awal kepada peserta tentang langkah keselamatan dan tatacara menyelamatkan diri semasa kebakaran,” katanya. – Nur Hidayah Abdullah