Lawatan akademik Hacer Kübra Sevinç dari University of Karabuk ke SOC UUM
Berita dan gambar Gs. Dr. Nur Suhaili Mansor
SINTOK, 7 Oktober 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima lawatan Hacer Kübra Sevinç, Timbalan Pengarah, Sekolah Vokasional, Karabuk University, Turkiye bermula 25 September hingga 5 Oktober lalu melalui Program Mobiliti ERASMUS KA171.
Sepanjang lawatan, Hacer Kübra melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti termasuk lawatan ke Sintok, Changlun dan Alor Setar, serta lawatan komuniti di Kampung Rawa.
Beliau turut menghadiri sesi perbincangan bersama pensyarah SOC dan melawat makmal penyelidikan seperti Human-Centered Computing Research Lab serta Data Science Research Lab.
Pada 1 Oktober, sesi perbincangan mengenai geran penyelidikan diadakan bersama pensyarah UUM, diikuti dengan perkongsian ilmu oleh Hacer Kübra dan rakan-rakan penyelidik. Ia merupakan peluang berharga untuk pertukaran idea dan pengalaman penyelidikan antara dua institusi.
Pada 2 Oktober, Hacer Kübra yang juga calon PhD di Karabuk University mengendalikan bengkel penulisan akademik bertajuk “How to Write a Good Paper?” untuk pelajar PhD dan Sarjana di Institut Peluang Digital Lanjutan dan Pintar (IASDO).
Selain itu, kunjungan hormat ke pejabat Dekan SOC, Prof. Dr. Osman Ghazali turut dijalankan sebagai tanda penghargaan dan mempererat jaringan kerjasama akademik.
Lawatan ini dijangka membuka ruang untuk kerjasama penyelidikan dan akademik yang lebih erat antara UUM dan Karabuk University melahirkan peluang pembangunan kepakaran serta inovasi teknologi yang bermanfaat kepada kedua-dua pihak dan komuniti pendidikan serantau.