Lawatan IPGKDA perkukuh amalan kualiti dalam pengurusan pendidikan
SINTOK, 28 Mei 2025: Seramai 19 pensyarah akademik dan pengurusan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman (IPGKD) mengadakan lawatan penanda aras ke Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA) Universiti Utara Malaysia (UUM).
Lawatan tersebut dianjurkan dengan tujuan mendalami dan mempelajari sistem Pengurusan Kualiti serta pendedahan kepada Outcome Based Learning (OBE) yang telah berjaya dilaksanakan di UUM.
Sepanjang sesi lawatan, Timbalan Pengarah Kualiti PPQA, Prof. Madya Dr. Ku Maisurah Ku Bahador telah berkongsi secara terperinci mengenai pelbagai inisiatif dan strategi dalam Sistem Pengurusan Kualiti UUM.
Beliau menekankan kepentingan pemantauan berterusan, penilaian dalaman dan pembaharuan sistematik untuk memastikan institusi sentiasa berada di landasan kecemerlangan.
Perkongsian tersebut membuka ruang perbincangan yang mendalam tentang bagaimana amalan ini boleh disesuaikan dengan keperluan dan ciri-ciri institusi IPGKD.
Prof. Madya Dr. Mohamad Faizal Ahmad Zaidi, Pengurus dari Pusat Perancangan Dasar & Kecemerlangan (CAEP), turut berkongsi ilmu dengan memperkenalkan penggunaan Outcome Based Education (OBE) di UUM.
Melalui pendekatan OBE, beliau menerangkan bagaimana pensyarah menggunakan sistem ini untuk melaksanakan penjajaran konstruktif (constructive alignment) dalam pengajaran.
Pengarah PPQA, dalam ucapannya menyatakan bahawa “kami menitikberatkan prinsip-prinsip asas dalam Pengurusan Kualiti seperti penilaian berterusan, inovasi berasaskan data, dan pembaharuan sistematik.
Sistem ini bukan sahaja menjadi panduan untuk memastikan kecemerlangan dalam pengajaran dan penyelidikan, malah turut melahirkan budaya peningkatan mutu yang berterusan di kalangan setiap warga institusi. Saya percaya, melalui pendekatan yang menyeluruh dan kolaboratif, kita mampu mencapai standard yang lebih tinggi dalam bidang akademik dan pentadbiran”.
Melalui lawatan ini, IPGKD berharap agar ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat diserap dan diadaptasi dalam pelaksanaan sistem Pengurusan Kualiti di institusi mereka.
Diharapkan, pengetahuan tentang sistem Pengurusan kualiti dan pendekatan OBE yang diterapkan di UUM mampu menjadi inspirasi untuk pengukuhan kualiti pendidikan, sekaligus menyumbang kepada peningkatan daya saing serta kecemerlangan dalam pengurusan akademik dan operasi institusi.