Lawatan muhibah perkukuh hubungan komuniti dan buka ruang kolaborasi baharu
Gambar oleh Norzilah Hj. Aziz
SINTOK, 8 Februari 2026: Satu lawatan muhibah yang penuh bermakna telah berlangsung hari ini di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam usaha memperkukuh hubungan serta memperkasa kerjasama strategik antara Persatuan Sutranita dengan komuniti luar.
Lawatan ini dimulakan dengan sambutan mesra delegasi Sekolah Menengah Agama (SMA) Islah Pendang di Anjung Tamu UUM, sekali gus menandakan permulaan kepada hubungan kerjasama yang lebih erat.
Program ini bukan sekadar formaliti, malah merupakan inisiatif proaktif bagi merapatkan silaturahim, meningkatkan kefahaman bersama serta membuka ruang kepada perkongsian idea dan pengalaman yang lebih berkesan antara institusi pendidikan tinggi dengan sekolah menengah.
Sepanjang lawatan yang berlangsung di UUM, pelbagai sesi interaksi dan perbincangan dua hala yang konstruktif telah diadakan, melibatkan wakil-wakil SMA Islah Pendang dan persatuan.
Program ini memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti keperluan sebenar komuniti pendidikan, membincangkan cabaran semasa yang dihadapi, serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang sosial, pendidikan dan pembangunan komuniti.

Menurut kenyataan rasmi persatuan, lawatan seperti ini amat penting bagi memastikan hubungan yang terjalin bukan sahaja bersifat formal, malah lebih mesra, dekat dan berterusan.
Timbalan Yang DiPertua SUTRANITA, Norzilah Hj Aziz menegaskan bahawa pendekatan turun padang seperti ini membolehkan persatuan mendengar sendiri suara komuniti dan memahami keperluan sebenar mereka.
Maklum balas langsung yang diperoleh akan menjadi asas kepada perancangan program yang lebih inklusif, relevan dan berimpak tinggi untuk manfaat bersama.

Pemangku Pengetua SMK Islah Pendang, Nur Syafiqah Zainol Abidin meluahkan rasa terima kasih dan menyambut baik inisiatif murni ini. Beliau menyatakan pihak sekolah amat berbesar hati dan mengalu-alukan kerjasama strategik ini dengan sepenuh hati.
Menurut beliau, lawatan hari ini bukan sahaja membuka ruang dialog yang bermakna, malah meletakkan asas yang kukuh untuk kerjasama jangka panjang.

Beliau berharap hubungan baik ini dapat diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti bersama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Sebagai penutup lawatan, delegasi turut dibawa menikmati keindahan alam sekitar kampus dan melawat tempat-tempat menarik di Lembah Sintok, sekali gus mempererat lagi ikatan persaudaraan yang terjalin.
Lawatan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik yang lebih kukuh dan berpanjangan demi kesejahteraan serta pembangunan komuniti secara menyeluruh. – Marina Hamzah dan Norzilah Hj. Aziz



