Lawatan Pejabat Gabenor Songkhla dan Pejabat Daerah Banprix Sadao teroka peluang kerjasama
Gambar Pusat Pengajian Perniagaan Islam
SINTOK, 1 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima lawatan rasmi daripada Pejabat Gabenor Wilayah Songkhla bersama Pejabat Daerah Banprix, Sadao, Thailand bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi serta pembangunan akademik antarabangsa.

Lawatan ini melibatkan seramai 45 wakil delegasi yang diketuai oleh Mr. Imron Nuidod. Delegasi telah disambut secara rasmi oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dalam satu sesi pertemuan dan taklimat rasmi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat.
Dalam sesi taklimat tersebut, Taklimat Mengenai Struktur Program, Peluang Pengajian dan Kemudahan Universiti telah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Pemasaran UUM, Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin. Taklimat ini merangkumi penerangan menyeluruh mengenai penawaran program akademik, struktur yuran pengajian, kemudahan sokongan pelajar antarabangsa serta ekosistem pembelajaran yang ditawarkan oleh UUM bagi memenuhi keperluan pelajar antarabangsa, khususnya dari wilayah selatan Thailand.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Prof. Dr. Selamah Maamor menyatakan keterujaan beliau atas kehadiran Delegasi Daerah Sadao yang disifatkan sebagai “bulan jatuh ke riba”, memandangkan lawatan tersebut membuka ruang untuk meneroka peluang pendidikan bagi warga Sadao melanjutkan pengajian di UUM.
Delegasi turut menyatakan kepuasan terhadap kepelbagaian program yang ditawarkan, khususnya program di IBS yang merangkumi bidang Kewangan Islam, Pengurusan Islam dan Pengurusan Halal.
Dalam sesi perkongsian tersebut, Dr. Selamah turut mengetengahkan peluang pembiayaan pengajian melalui biasiswa antarabangsa seperti Islamic Development Bank (IsDB), Jeddah, selain berkongsi kejayaan alumni IBS dari selatan Thailand sebagai sumber inspirasi dan motivasi.

Dalam majlis tersebut, Naib Canselor turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih IBS, UUM atas peranan dan komitmen yang ditunjukkan dalam mengurus serta menyelaras keseluruhan program lawatan ini, sekali gus memperkukuh imej UUM sebagai institusi pendidikan bertaraf antarabangsa.
Sesi taklimat tersebut turut disusuli dengan sesi bergambar kenang-kenangan di Bilik Mesyuarat Senat sebelum delegasi dibawa menyertai lawatan kampus (Campus Tour) bagi meninjau kemudahan utama universiti. Antara lokasi yang dilawati termasuk Inasis Maybank, UUM International School, Pusat Sukan UUM, Varsity Mall, serta beberapa fasiliti sokongan lain yang mencerminkan ekosistem pembelajaran holistik UUM.
Secara keseluruhan, lawatan rasmi ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa serta memperkukuh peranan UUM sebagai hab pendidikan serantau melalui inisiatif pendidikan rentas sempadan yang mampan dan berimpak tinggi. – Nurzulfah Afifah Mat Tamizi



