Lawatan penandaarasan UTHM perkukuh jaringan kerjasama strategik dengan UUM
Gambar Pusat Kokurikulum
SINTOK, 6 April 2026: Institut Transformasi Sosial dan Pembangunan Wilayah (TRANSFORM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Pusat Kokirikulum, Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.
Lawatan ini telah disertai oleh empat wakil daripada pihak UTHM yang terdiri daripada pegawai dan staf akademik yang berpengalaman dalam bidang pembangunan sosial dan pengurusan komuniti.

Program ini diadakan sebagai satu inisiatif strategik untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi pengajian tinggi, di samping membuka ruang kepada perkongsian ilmu, kepakaran serta amalan terbaik dalam pelbagai bidang berkaitan.
Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im Ahmad berkata, objektif utama lawatan ini adalah untuk berkongsi amalan terbaik serta memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara UTHM dan UUM, khususnya dalam aspek pembangunan sosial, penyelidikan serta pengurusan program komuniti.
Selain itu, menurutnya, lawatan ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada delegasi mengenai pendekatan serta pelaksanaan program kokurikulum yang diamalkan di Pusat Kokurikulum UUM yang dilihat sebagai antara pusat yang aktif dan berimpak tinggi dalam pembangunan pelajar secara holistik.

Dr. Za’im turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian delegasi daripada Institut Transformasi Sosial dan Pembangunan Wilayah (TRANSFORM), UTHM untuk hadir ke UUM bagi menjayakan lawatan penanda aras ini.
“Penganjuran program seumpama ini merupakan satu platform yang amat penting dalam usaha memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi.
“Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai medium yang efektif dalam memperkaya perkongsian ilmu, pengalaman serta kepakaran dalam kalangan warga akademik dan pentadbiran,” katanya.
Sepanjang lawatan, delegasi telah diberi pendedahan secara menyeluruh terhadap kaedah pengurusan kokurikulum yang dilaksanakan, merangkumi aspek perancangan strategik program, pelaksanaan aktiviti serta pendekatan pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah pelajar secara holistik.

Selain itu, sesi perbincangan dua hala yang diadakan turut membuka ruang kepada pertukaran idea dan pandangan secara lebih mendalam, khususnya dalam mengenal pasti potensi kerjasama masa hadapan dalam bidang penyelidikan, penganjuran program bersama serta pembangunan modul latihan yang lebih komprehensif.
Secara keseluruhannya, program ini menyumbang kepada peningkatan pertukaran ilmu dan pengalaman antara kedua-dua institusi, sekali gus berperanan sebagai pemangkin kepada pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat berterusan pada masa hadapan. – Muhammad Syahmi Jumbri



