Lawatan PKMD Kubang Pasu ke RUKAYDA perkukuh pematuhan operasi
Gambar Pusat Islam UUM
SINTOK, 8 April 2026: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kubang Pasu telah mengadakan lawatan rasmi ke Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Anak Asnaf (RUKAYDA) UUM sebagai sebahagian daripada proses penilaian dan pendaftaran bagi mendapatkan lesen serta perakuan sah untuk mengendalikan operasi rumah kebajikan anak yatim.
Lawatan ini diketuai oleh Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat daripada Unit Perundangan dan Penguatkuasaan, Munirah Atirah Abdul Aziz bersama dua pegawai lain.

Pihak RUKAYDA UUM pula diwakili oleh Pegawai Tadbir Kanan, Madihah Mohamed Ibrahim dan Pegawai Tadbir, Muhammad Syazwan Menon dengan kehadiran Aus Korni Yahaya selaku Ketua Warden.
Madihah berkata, lawatan ini bertujuan untuk menilai tahap pematuhan RUKAYDA UUM terhadap piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, meliputi aspek pengurusan, kebajikan penghuni, keselamatan, fasiliti serta penyediaan makanan.
Menurutnya, penilaian ini merupakan elemen penting dalam memastikan setiap institusi kebajikan beroperasi secara sistematik, selamat dan berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan.

Dalam sesi tersebut, Munirah Atirah menzahirkan penghargaan terhadap tahap penyediaan fasiliti yang baik serta pengurusan penyediaan makanan yang berkualiti di RUKAYDA UUM.
Beliau turut menyifatkan usaha yang dilaksanakan sebagai mencerminkan komitmen tinggi pihak pengurusan dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan penghuni.
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri menyatakan harapan agar RUKAYDA UUM dapat memenuhi sepenuhnya semua kriteria yang ditetapkan bagi tujuan pendaftaran rumah kebajikan.
Mohd Yusnaidi berkata, pematuhan terhadap standard yang digariskan bukan sahaja penting dari sudut perundangan, bahkan menjadi asas kepada pembentukan persekitaran yang kondusif, selamat dan berintegriti.
“RUKAYDA UUM diharapkan mampu muncul sebagai model institusi kebajikan yang mengintegrasikan pendidikan, kasih sayang dan pembangunan sahsiah secara holistik dalam membina generasi masa hadapan,” katanya. – Nor Azlinah Zaini



