Campus

Mahasiswa Sahabat Masjid UUM buktikan keseimbangan akademik dan spiritual

Gambar oleh Mohd Azhar Ahmad

SINTOK, 5 Januari 2025: Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) berbangga serta merakamkan ucapan tahniah kepada mahasiswa Sekretariat Sahabat Masjid dan Surau, Pusat Islam UUM yang berjaya memperoleh pengiktirafan kecemerlangan akademik bersempena Majlis Bakti Berpijar yang berlangsung di EDC Hotels & Resort UUM.

Seramai 34 orang daripada lebih 200 ahli sekretariat telah mencatatkan pencapaian akademik cemerlang apabila berjaya memperoleh Anugerah Dekan daripada pusat pengajian masing-masing bagi semester lalu.

Pencapaian ini sekali gus mencerminkan keupayaan mahasiswa untuk mengimbangi kecemerlangan akademik dengan penglibatan aktif dalam aktiviti pengimarahan masjid dan surau. Pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa komitmen dalam kerja-kerja kesukarelawanan serta gerak kerja dakwah di masjid dan surau bukanlah penghalang kepada kejayaan akademik.

Sebaliknya, pengurusan masa yang berdisiplin serta penglibatan dalam aktiviti kerohanian dilihat menyumbang secara positif terhadap kejayaan pelajar.

Dalam ucapannya, Pengarah Pusat Islam UUM menegaskan bahawa khidmat bakti kepada masjid dan surau tidak menjejaskan kecemerlangan pelajar. Malah, keberkatan masa serta penghayatan terhadap nilai spiritual hasil penglibatan aktif dalam aktiviti kerohanian menjadi pemangkin kepada pencapaian akademik yang berterusan.

Beliau turut menyeru semua ahli sekretariat agar sentiasa mengimbangi tuntutan akademik dan spiritual dalam usaha membentuk jati diri mukmin yang profesional, holistik dan berdaya saing. Menurutnya, penglibatan dalam pengimarahan masjid dan surau bukan sekadar melaksanakan ibadah, bahkan berperanan sebagai medan latihan penting dalam mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan pengurusan organisasi.

Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga mahasiswa UUM untuk terus mengekalkan kecemerlangan akademik tanpa mengabaikan tanggungjawab memakmurkan masjid dan surau sebagai pusat pembinaan sahsiah serta kerohanian di kampus.

Penganjuran majlis seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Islam UUM dalam menghargai prestasi dan kebajikan pelajar, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah unggul dari sudut akhlak dan sahsiah. – Mohd Firdaus Ahmat

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button