Majlis Apresiasi SOC 2024 hargai kecemerlangan dalam nuansa klasik
Gambar SOC
SINTOK, 6 Mac 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) dengan jayanya telah menganjurkan Majlis Apresiasi SOC 2024, sebuah acara istimewa bagi menghargai pencapaian cemerlang penyelidik dan tenaga pengajar yang telah memberi impak besar dalam pencapaian indeks prestasi utama (KPI) pusat pengajian sepanjang tahun lalu.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghormatan terhadap usaha gigih dalam menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi, penerbitan berimpak, serta kecemerlangan dalam pengajaran dan inovasi akademik.
Penerima anugerah terdiri daripada individu dan kumpulan yang telah menunjukkan prestasi luar biasa dalam pelbagai kategori, termasuk penerbitan jurnal berimpak tinggi, penyelidikan inovatif, serta kecemerlangan dalam pengajaran.
Dekan SOC, Prof. Dr. Osman Ghazali berkata, kejayaan SOC tidak akan tercapai tanpa dedikasi dan komitmen berterusan para akademia.
“Majlis ini bukan sekadar satu bentuk penghargaan, tetapi juga menjadi dorongan untuk terus melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian 30 anugerah, sesi perkongsian pengalaman, serta penghormatan kepada para penyelidik dan tenaga pengajar yang telah mengharumkan nama SOC di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Tahniah kepada semua penerima anugerah! Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga SOC untuk terus menyumbang kepada kecemerlangan pusat pengajian, berpandukan kepada kepakaran dan kekuatan masing-masing. – Prof. Madya Dr. Husniza Husni