Majlis Iftar SAPSP erat silaturahim
SINTOK, 27 Mac 2025: Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) telah menganjurkan Majlis Iftar di EDC-UUM sebagai salah satu usaha memupuk ukhuwah di dalam kalangan staf SAPSP.
Majlis yang diadakan sempena bulan Ramadan al-Mubarak itu turut diserikan dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Dekan Awang Had Salleh Graduates School (AHSGS), Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar.
Dalam tazkirah tersebut, beliau mengajak para hadirin menghayati keistimewaan bulan Ramadan yang mulia ini dengan meningkatkan amalan sama ada yang fardhu mahupun amalan yang sunat.
Antaranya ialah mendirikan solat secara berjemaah, membaca al-Quran, solat sunat terutamanya tahajud, bersedekah dan memperbaiki hubungan dengan Allah serta hubungan sesama manusia.
Beliau juga turut menyeru para hadirin untuk mengambil ibrah mengenai peristiwa Nuzul al-Quran, iaitu peristiwa agung penurunan al-Quran kepada umat manusia sebagai petunjuk dalam kehidupan.
“Sebagai tempat menimba ilmu, warga kampus seharusnya menyebarkan wahyu al-Quran melalui penulisan hasil daripada penyelidikan yang dilakukan dalam bidang masing-masing.
“Itulah wakaf yang tidak ternilai yang akan membantu kita kelak dalam menempuh kehidupan selepas kematian kita nanti,” ujarnya.
Majlis ini diharap dapat terus menjadi wadah mengeratkan ukhuwah serta menghidupkan nilai-nilai Ramadan dalam kalangan staf. Ia turut menyokong aspirasi Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) untuk membentuk budaya kerja yang positif, inklusif dan berteraskan nilai-nilai murni. – SAPSP