Majlis Profesor UUM bantu rangka pelan strategik
SINTOK, 11 Mac 2025: Bengkel Pembangunan Pelan Strategik Fasa IV (2026 – 2030) Siri 1: Bersama Majlis Profesor berlangsung di Dewan Angsana, EDC UUM, kelmarin.
Bengkel ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan input berharga daripada Majlis Profesor UUM dalam merangka Pelan Strategik Fasa 4, yang akan memacu perkembangan UUM dalam tempoh 2026-2030.
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, dalam ucapannya, menyatakan bahawa UUM kini sedang merangka Pelan Strategik Fasa IV (2026-2030) seiring dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 yang dilancarkan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang merangkumi tempoh 10 tahun.
“Apabila Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia yang baharu ini diluluskan oleh jemaah menteri, ia akan menjadi garis panduan penting untuk universiti lain di negara ini,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa pelbagai aspek telah diperhalusi dengan teliti bagi memastikan UUM terus bergerak ke arah menjadi sebuah Universiti Pengurusan Terkemuka.
“Kita mempunyai peluang besar dalam tempoh 10 tahun untuk mengukuhkan kedudukan UUM di peringkat yang lebih tinggi dan mantap,” tambahnya.
Menurutnya, UUM akan bekerjasama rapat dengan KPT, pihak industri, dan semua pemegang taruh bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang memberi manfaat secara menyeluruh dan memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.
“Asas pembentangan daripada ketiga-tiga kumpulan tadi adalah berteraskan visi untuk menjadikan UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka. Ini bukan sahaja menjadi matlamat utama, malah garis panduan utama dalam merangka strategi untuk mencapainya,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau turut merakamkan ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat (BPPK) atas penganjuran bengkel yang penuh manfaat ini.