Manipulasi persamaan Matematik dengan “Math Brain Boosters: Equation Expert”
ARAU, 6 APRIL 2025: Sekumpulan pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menjalankan aktiviti Math Brain Boosters: Equation Expert di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein, Arau, Perlis.
Aktiviti yang melibatkan 68 pelajar tingkatan dua ini dijalankan di bawah Program STI 1003 Kitaran 15 anjuran Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) dengan Kitaran 1 bermula pada Ogos 2024.
Sesi interaktif yang menguji kemahiran pelajar membentuk dan memanipulasi persamaan Matematik secara kreatif ini telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Adyda Ibrahim, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi, Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad, Prof. Madya Dr. Rosshairy Abdul Rahman, dan Dr. Mohammad Zukuwwan Zainol Abidin.
Sepanjang sesi berlangsung, dua kelemahan ketara di kalangan pelajar adalah menggunakan operasi darab dan bahagi, serta menggunakan urutan pengiraan yang betul.
Menurut guru Matematik Cikgu Zuliza, aktiviti Equation Expert ini boleh menambahbaik dua kelemahan tersebut dengan cara yang menyeronokkan dan interaktif.
Di samping itu, aktiviti berkonsep pertandingan berkumpulan dapat memupuk semangat setiakawan melalui komunikasi bersemuka dan persaingan sihat.
Aktiviti Math Brain Boosters: Equation Expert ini merupakan aktiviti kedua yang telah dijalankan daripada tiga aktiviti di bawah Program STI 1003.
Lanjutan daripada maklumbalas positif yang diterima daripada pelajar dan guru, aktiviti ketiga dan terakhir dalam Program STI 1003 yang dijangka berlangsung pada bulan Mei 2025 di SQS, UUM pastinya menjanjikan satu lagi pengalaman menarik untuk pelajar. – Prof. Madya Dr. Adyda Ibrahim