Meet & Greet SETIA bersama Pendaftar eratkan silaturahim dan perkukuh peranan setiausaha
Gambar Maizatul Musfiroh Mohammad
SINTOK, 14 Januari 2026: Program Meet and Greet SETIA bersama Pendaftar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dilaksanakan semalam di EDC UUM dengan penyertaan seramai 40 Setiausaha UUM.
Majlis ini telah dihadiri oleh Pendaftar UUM, Ahmad Rasidi Abdullah dan barisan Ahli Jawatankuasa Mesyuarat Exco SETIA serta Setiausaha UUM.

Presiden Persatuan SETIA UUM, Norazlina Mahmud berkata, program ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuhkan peranan dan kefahaman setiausaha terhadap hala tuju persatuan dan universiti.
Menurutnya, SETIA merupakan sebuah persatuan yang bergerak seiring dengan universiti dalam menjayakan misi dan visi UUM.
“Peranan persatuan bukan sahaja melibatkan setiausaha tetapi juga turut dilibatkan sebagai anggota Jawatankuasa Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Staf UUM (BAHTERA), OSH Universiti, MBJ dan MKSK.
“Persatuan berperanan sebagai platform untuk menyuarakan pandangan dan permasalahan ahli, di samping menyeru agar SETIA lebih cakna terhadap kebajikan ahli,” katanya.

Aspek penampilan diri, disiplin kerja, kepentingan kerahsiaan serta peranan strategik setiausaha dalam sesebuah organisasi turut ditekankan.
Ucapan tersebut diakhiri dengan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa MES SETIA dan ahli-ahli SETIA atas komitmen serta sokongan berterusan dalam menjayakan aspirasi persatuan.
Sementara itu, Ahmad Rasidi menyampaikan ucapan dan amanat dengan menegaskan kepentingan mengutamakan kesihatan diri dan masa bersama keluarga, di samping mengekalkan sikap proaktif ketika waktu bekerja tanpa mengabaikan tanggungjawab.
Beliau turut menyeru agar bekerja dengan penuh semangat, mengawal emosi serta sentiasa bersikap profesional.

“Setiausaha digalakkan membina kerjaya dan menonjolkan bakat selain tugasan hakiki, serta sentiasa meningkatkan kemahiran asas, disiplin diri dan pembangunan kendiri melalui pembelajaran berterusan.
“Peranan setiausaha sebagai “orang kanan” kepada ketua jabatan, yang sentiasa bersedia menyokong dan memperkukuhkan kelancaran pentadbiran organisasi,” katanya.
Program ini diharap dapat memperkukuhkan hubungan antara pihak pengurusan universiti dan ahli SETIA, serta menjadi pemangkin kepada peningkatan profesionalisme dan kesejahteraan Setiausaha UUM secara keseluruhan. – Nur Diyana Othman



