Membangun penjawat yang berintegriti
SINTOK, 18 Jun 2025: Program Integrity Talk Bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyuntik semangat baharu kepada penjawat awam sekali gus membuka minda dalam aspek tadbir urus ke arah kecemerlangan dan budaya kerja berintegriti.
Pengerusi LPU, Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd Shukor Mahfar, berkongsi pandangan, pengalaman dan hala tuju universiti dalam kerangka integriti serta tadbir urus yang mampan.
Jelasnya, integriti merujuk kepada sifat jujur, berdisiplin, berpegang kepada prinsip moral dan etika yang kukuh, serta konsisten dalam melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat.
“Integriti bermakna seseorang jujur dalam tutur kata dan tindakan, mengurus amanah dan kuasa secara adil dan telus, tidak menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi, mematuhi undang-undang, dasar dan prosedur sedia ada, membuat keputusan berdasarkan fakta dan keadilan, bukan pengaruh sesiapa.
“Kita semua adalah penjawat awam apabila menjadi penjawat awam kita tertakluk kepada peraturan untuk menjadi penjawat awam yang berintegriti.
“Integriti adalah disiplin yang istilahnya berubah-ubah mengikut perubahan masa,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Strengthening Governance For Excellence: Leading With Integrity In University Management” di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen semalam.
Sebelum itu, majlis lafaz ikrar integriti telah dilangsungkan oleh penjawat utama UUM yang kemudiannya diserahkan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr Mohd Foad Sakdan kepada Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd Shukor.
Menurutnya, integriti sering dikaitkan dengan pematuhan undang-undang dan dasar organisasi, hakikatnya kerana integriti bermula dari sikap peribadi seseorang.
“Apabila setiap individu dalam organisasi mempamerkan sikap jujur, bertanggungjawab, menolak penyelewengan akan terbentuk satu budaya kolektif yang menjunjung nilai integriti.
“Budaya ini bukan datang daripada arahan semata-mata, tetapi melalui contoh teladan dan amalan harian yang berterusan,” katanya.
Justeru, katanya, sikap pemimpin amat penting dalam membentuk budaya integriti. Jika pemimpin menunjukkan ketegasan dalam hal etika, tidak berat sebelah, dan konsisten dalam tindakan maka staf bawahan juga akan terdorong untuk mencontohi sikap yang sama.
“Apabila kita diberi amanah memimpin, kita perlu tegas. Jika tidak, banyak mesyuarat akan berakhir tanpa keputusan. Saya juga minta bahagian undang-undang untuk menasihatkan LPU secara profesional, tanpa rasa takut atau berat sebelah termasuk aspek perbelanjaan, operasi atau pembuatan keputusan,” katanya.
Menurutnya, agenda LPU konsisten berteraskan lima fokus utama – Kelestarian kewangan, Pemantapan sumber manusia dan pembangunan fizikal, Kecemerlangan akademik, Tadbir urus yang baik, dan Keutuhan anak syarikat.
“Kelima-lima teras ini dipantau dalam mesyuarat LPU bagi memastikan pencapaian KPI dan kesinambungan kejayaan dalam fasa ketiga Pelan Strategik universiti. Walaupun belum sempurna, kita sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan,” tambahnya.
Jelasnya, tadbir urus yang baik menjamin ketelusan dalam membuat keputusan, mengelakkan penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan.
Justeru, katanya, pengurusan tertinggi memegang peranan penting dalam mewujudkan ekosistem integriti dalam kalangan staf dan pelajar.
Menurutnya, membangun budaya integriti bukan hanya dengan melaksanakan kursus atau mewujudkan polisi, tetapi dengan menyemai sikap positif dalam setiap individu, bermula daripada kepimpinan tertinggi hinggalah ke peringkat pelaksana.