Campus

Memperkasa kepimpinan berintegriti demi reformasi perkhidmatan awam

Gambar: Peserta program

SUNGAI PETANI, 24 Julai 2025: Integriti dan tatakelola kini bukan lagi satu pilihan, tetapi menjadi tuntutan demi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negara.

Sejajar dengan matlamat reformasi perkhidmatan awam, seminar bertemakan Pembudayaan Integriti dan Tatakelola Terbaik dalam Kepimpinan Perkhidmatan Awam telah diadakan di Dewan Jubli Perak, INTAN Kampus Wilayah Utara (INTURA) Kedah dengan kehadiran lebih 400 penjawat awam secara fizikal dan lebih 4,200 tontonan langsung secara dalam talian.

Seminar ini menerima suntikan inspirasi daripada Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University, Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, yang juga merupakan mantan Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi. Beliau menyampaikan pesanan kepimpinan yang sarat dengan nilai, pengalaman serta visi jelas terhadap masa depan perkhidmatan awam.

Beliau menegaskan bahawa integriti dan tatakelola bukan sekadar slogan atau dasar pentadbiran, tetapi nadi yang menentukan martabat dan kelangsungan perkhidmatan awam.

Dr. Noorul Ainur juga menyatakan dengan tegas bahawa penjawat awam perlu menghayati prinsip ini sepenuhnya agar mereka sentiasa dihormati, diyakini dan terlindung daripada gejala keruntuhan nilai dalam masyarakat.

Selain itu juga, beliau mengupas aspek keberanian menyuarakan pandangan, disiplin dalam komunikasi seperti keperluan membalas e-mel dan panggilan tepat pada masa, kepekaan terhadap keperluan golongan wanita dalam perkhidmatan serta menegaskan bahawa kepimpinan bukanlah ruang untuk meraih popularity, tetapi amanah yang memerlukan integriti dan keikhlasan.

Dari aspek untuk membina ketahanan diri (resilience) dalam kepimpinan, Dr. Noorul menyarankan penjawat awam terus memperluas jaringan profesional, mengasah kemahiran berfikir secara kritikal, memperkemas ketrampilan diri dan menanam budaya membaca sebagai asas pencerahan.

Beliau juga mengetengahkan prinsip VOICE dalam kepimpinan wanita, yang merangkumi keberanian bersuara (voice), pemilikan peranan (ownership), kebebasan kewangan (independence), sokongan lelaki (collaboration) dan pemerkasaan sebenar (empowerment).

Seramai 30 orang staf pengurusan dan professional (Gred 12-14) Universiti Utara Malaysia (UUM) dari pelbagai jabatan turut menghadiri seminar ini, menunjukkan keterbukaan sektor pentadbiran dalam menyahut seruan pembudayaan integriti rentas organisasi.

Penyertaan ini menggambarkan komitmen bersepadu UUM dalam merealisasikan agenda reformasi nilai dan tatakelola secara menyeluruh.

Dengan penganjuran seminar seperti ini oleh INTURA, pihak UUM yakin ia mampu memperkukuh ekosistem perkhidmatan awam yang bebas rasuah, telus dan berdaya tahan demi Malaysia yang lebih berintegriti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button